Header Ads

'Saya bukan ibu gadis itu...'

LAPORAN portal berita Harian Metro, 11 Julai lalu mengenai Merhana mencari ibu kandungnya yang terpisah sejak tujuh tahun lalu.

“SAYA bukan ibu kepada gadis itu dan tiada apa-apa hubungan dengannya. Saya kesal kerana ada pihak mengecam saya dan keluarga dengan keterlaluan.

“Malah, sehingga kini saya, suami dan dua anak serta keluarga amat tertekan dengan komen negatif di media sosial dan panggilan telefon sering bertanya mengenai perkara itu.”

Loading...

Demikian kata Shirla Fanny Maturin, 44, mengenai remaja perempuan Merhana Abdullah, 15, yang mencari ibu kandung yang tidak pernah dikenalinya.

Berdasarkan laporan Harian Metro pada 11 Julai lalu, Merhana mencari ibu kandungnya, Shirla Fanny Maturin untuk memohon kad pengenalan bagi meneruskan persekolahannya


SHIRLA menunjukkan laporan polis mendakwa dia bukan ibu kandung dicari Merhana walaupun menyamai nama, umur dan bangsanya ketika ditemui di Likas, semalam. FOTO Khairul Azry Bidin.

Walaupun nama ibu gadis itu sama dengan namanya, Shirla berkata, dia tidak pernah mengenali atau mempunyai ikatan dengan ayah kandung gadis itu.

“Suami saya hanya Lennon Egedius Sipaul dan sejak berkahwin pada 2001, kami dikurniakan dua anak dan salah seorang anak saya sebaya dengan gadis itu.

“Saya ingin saya jelaskan, saya tidak pernah bersuami selain Lennon...apatah lagi mempunyai anak yang bukan dari suami saya,” katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, semalam.


Shirla yang bekerja sebagai jurujual hartanah berkata, dia hanya menyedari perkara itu selepas menerima keratan akhbar Harian Metro daripada pelanggannya melalui aplikasi WhatsApp.

“Sejak itu, sering saja kenalan dan pelanggan bertanya kepada saya mengenainya kerana nama ibu gadis yang tertulis pada berita itu sama dengan nama saya.

“Saya sebenarnya tidak mahu memanjangkan masalah ini, tetapi perlu saya beritahu perkara sebenar agar orang ramai tidak buruk sangka terhadap saya dan keluarga,” katanya.

Menurutnya, selepas mengetahui perkara itu, dia dan suami membuat laporan di Jabatan Pendaftaran Negara dan polis, selain menemui peguam untuk meminta pandangan.

“Saya harap pihak berwajib mencari jalan penyelesaian sewajarnya. Ini kerana apa yang saya musykil bagaimana nama, umur dan bangsa dua individu itu sama...lebih pelik, sijil kelahiran milik gadis itu tertulis ibunya keturunan Kadazan, namun dia diiktiraf bukan warganegara,” katanya.

Mengulas lanjut, Shirla berkata, dia pernah kehilangan kad pengenalan selepas beg duitnya disamun di Pejabat Pos Kota Kinabalu pada 1998.

Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Pendaftaran Negara menyiasat kerana berlaku salah faham mengenai identitinya ketika mendaftar sijil kelahiran anak pertama pada 2002, dipercayai kemungkinan kad pengenalannya digunakan individu lain.

Pada 11 Julai lalu, Merhana dilaporkan mencari ibu kandungnya Shirla Fanny Maturin yang terpisah sejak tujuh tahun lalu manakala bapanya meninggal dunia pada 2011.

Selepas bapanya meninggal dunia, Merhana dijaga ibu dan bapa angkatnya yang juga sepupu arwah bapanya sejak berusia lapan tahun, namun masalah timbul apabila keluarga angkat remaja itu tidak dapat memohon kad pengenalan kerana tiada dokumen ibu.

No comments

Loading...