Header Ads

Sawa santai atas lampu isyarat

ULAR sawa pada lampu isyarat di Persiaran Setia, USJ 12, Subang Jaya, sebelum ditangkap pasukan APM, semalam.

Subang Jaya: Menghairankan apabila seekor ular sawa didapati berada di atas lampu isyarat.

Itu situasi dialami pengguna jalan raya di persimpangan lampu isyarat dekat Persiaran Setia, USJ 12, semalam.

Loading...

Keadaan di kawasan berkenaan menjadi riuh seketika dengan kehadiran haiwan sepanjang tujuh meter itu yang ‘bersantai’ pada lampu isyarat di situ.

Kejadian jam 8.45 pagi itu bagaimanapun dapat dikawal anggota polis bagi mengelak sebarang kemalangan sebelum pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba untuk menangkap reptilia berkenaan.

Pegawai APM Daerah Klang Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas menangkap ular pada jam 8.52 pagi.

“Pasukan dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Klang bergegas ke lokasi sebelum tiba jam 9.18 pagi dan mendapati ada seekor ular sawa di lokasi dengan kehadiran anggota polis mengawal lalu lintas.

“Pasukan dengan kekuatan seorang pegawai dan tiga anggota menggunakan alatan penjerut untuk menangkap ular sepanjang tujuh meter itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pengguna jalan raya terkejut dengan kehadiran ular berkenaan yang berada di atas lampu isyarat.


“Namun, nasib baik tidak berlaku kemalangan dengan bantuan polis mengawal keadaan sebelum ketibaan APM untuk menangkap ular itu.

“Ia dibawa ke PKOD Klang sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan susulan,” katanya.

No comments


Loading...