Header Ads

Saifuddin Jawab Najib Di Dewan Rakyat

Foto: Kosmo

GEORGE TOWN - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan memberi penjelasan berhubung isu harga barang yang dibangkitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, minggu depan.

Katanya, beliau akan memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan Najib iaitu penurunan harga barang masih tidak banyak berubah selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikenakan pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun lepas.


Loading...

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib yang terkejut apabila kerajaan memaklumkan penurunan harga barang masih tidak banyak berubah selepas GST diletakkan pada kadar sifar bermula 1 Jun lepas.

“Saya nak beritahu beliau (Najib) faktor yang sumbang kepada penurunan harga barang ada lima hingga enam perkara jadi saya minta beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pekan untuk hadir di Parlimen minggu depan untuk sesi perbahasan.

“Sekiranya beliau hadir, saya dan jemaah  menteri boleh beri jawapan munasabah kepadanya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke atas usahawan yang menerima bantuan peralatan ekonomi daripada kementerian itu di daerah Barat Daya, di Balik Pulau di sini, hari ini.

Seramai 51 usahawan daerah Barat Daya menerima bantuan peralatan bernilai RM500 hingga RM5,000 sejak tiga tahun lepas dan kebanyakan mereka telah berjaya keluar daripada garis kemiskinan sejak mendapat bantuan itu.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata sejak 1 Jun lepas, tindakan tegas telah dikenakan terhadap  peniaga yang menaikkan harga barang dan kementerian itu menerusi 2,300 anggota penguat kuasa sentiasa  turun padang dan mengambil tindakan terhadap aduan pengguna.

Beliau berkata pengguna juga boleh melayari aplikasi Paparan Harga yang dibangunkan kementerian itu bagi menyemak harga barang dan lokasi kedai.

“Ketika ini, seramai 42,000 pengguna menggunakan aplikasi itu tapi jumlah itu masih rendah...aplikasi itu membantu orang ramai membuat semakan harga selain turut memberi maklumat tentang kedudukan harga barang pada harga semasa dan kedai yang lebih murah,” katanya. - Bernama

No comments

Loading...