Header Ads

Rosmah Nafi Beli Barang Kemas Dari Lubnan


KUALA LUMPUR - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menafikan beliau ada membeli mana-mana barang kemas daripada syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan.

Perkara itu dinyatakan Rosmah melalui pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi menjawab saman yang dikemukakan syarikat pemborong barang kemas terbabit.

Dalam satu kenyataan, firma Guaman Geetham Ram yang mewakili Rosmah dalam pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, anak guam mereka tidak mempunyai pemilikan sah ke atas barangan tersebut.

"Barang-barang kemas itu dihantar kepada anak guam kami untuk dilihat dan dinilai kerana kapasiti beliau sebagai isteri seorang Perdana Menteri Malaysia tanpa kewajipan beliau membelinya," menurut kenyataan itu.

Loading...


Firma itu menegaskan, saman yang difailkan Global Royalty itu terhadap anak guam mereka adalah bertentangan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

"Tindakan saman yang dikemukakan jelas bertentangan dengan udang-undang, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah," katanya.

Sehubungan itu mereka berkata, tuntutan saman yang dibuat syarikat berkenaan terhadap anak guam mereka supaya memulangkan semula barang kemas berkenaan atau membayar sebanyak RM59,831,317.40 adalah tidak berasas.

Sehubungan itu, firma itu memaklumkan, pihaknya akan mengemukakan permohonan bagi membatalkan saman tersebut.

Sebelum ini media melaporkan, Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Beirut telah memfailkan saman  26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes saman tukang emas Lubnan: Kerajaan akan mencelah]

Syarikat barang kemas terkemuka Lubnan itu memfailkan saman AS$14.79 juta (hampir RM60 juta) terhadap Rosmah bulan lalu atas penghantaran 44 item kepadanya pada Februari lalu, sebelum dirampas polis baru-baru ini.

- Sinar Harian

No comments