Header Ads

Politik Wang: Sila Tunjuk Bukti!


SUNGAI PETANI – Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, meminta naib ketua dan tiga sayap mengemukakan bukti kewujudan politik wang yang dikaitkan dengan dirinya sehingga menjadi punca mereka melepaskan jawatan.

Beliau dalam masa sama mencabar kesemua mereka membawa perkara berkenaan ke peringkat lembaga disiplin parti di mana beliau sepatutnya layak dipecat sekiranya didapati bersalah.

“Isu ini sengaja dicetuskan semata-mata nak fitnah dan aibkan diri saya.

“Kalau benar saya bersalah, saya lebih layak dipecat jadi kenapa mereka semua yang letak jawatan.

Loading...


“Saya nak depa tunjuk bukti berlakunya politik wang termasuk dakwaan mengatakan ada berlaku pembelian undi terhadap perwakilan di tandas semasa pemilihan berlangsung,” jelasnya.

Menurut Shahanim, dakwaan itu dianggap melampau dan tidak berasas.

“Perwakilan sudahpun memilih, jadi saya harap mereka terimalah ketentuan ALLAH bahawasanya Umno kini mahukan perubahan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau yang juga merupakan kakak kepada Ketua Puteri, Mashitoh Mohamad Yusoff enggan mengulas lanjut berhubung pertalian mereka.

“Dalam hubungan kekeluargaan, kami tetap adik-beradik,” katanya menjelaskan akan tetap menerajui Umno Sungai Petani dengan penuh dedikasi biarpun terpaksa menempuh halangan berliku.

Semalam, Naib Ketua, Muhamad Effendi Mashum, Ketua Wanita, Wan Mohalina Wan Mohamad, Ketua Pemuda, Mohd Rahmat Darus dan Mashitoh mengumumkan melepaskan jawatan kerana mendakwa berlaku ketidakwajaran atas pemilihan kali ini.

Muhamad Effendi melalui sidang media yang dibuat mendakwa gejala politik wang melampau menyebabkan beliau dan barisan sayap merasakan kurang keyakinan dengan kepimpinan baharu yang dipilih perwakilan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan ahli jawatankuasa sayap parti Umno Sungai Petani dari wanita, pemuda dan puteri melepaskan jawatan yang baharu dimenangi berkuatkuasa serta-merta.

Peletakan jawatan itu dibuat selepas perbincangan serius dan penilaian terbaik atas alasan ketidakwajaran kepimpinan bahagian yang baharu diberi mandat.

-Sinar Harian

No comments

Loading...