Header Ads

PM Mahathir Hargai Jepun Sedia Pertimbang Pinjaman Mudah


PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghargai sikap Jepun yang sedia mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk mendapatkan bantuan pinjaman mudah yang kini sedang dikaji oleh negara itu.

Hal itu disampaikan oleh Menteri Luar Jepun, Taro Kono kepada Dr Mahathir ketika Kono melakukan kunjungan  hormat ke atas beliau di Perdana Putra di sini hari ini. Kono kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula Selasa.

Semasa melawat Jepun bulan lepas, Dr Mahathir telah memohon pinjaman yen dari Jepun dalam bentuk pinjaman mudah dan rakan sejawatannya Shinzo Abe memberitahunya akan mempertimbangkan permohonan itu.

Sebahagian daripada  pinjaman itu dijangka digunakan untuk menyelesaikan hutang-hutang lama untuk menyeimbangi kos pinjaman yang tinggi.

Loading...


Wisma Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena kunjungan hormat Kono itu hari ini berkata, Dr Mahathir amat berpuas hati dengan hasil perbincangannya dengan Abe di Tokyo pada 12 Jun lepas di mana kedua-dua perdana menteri bersetuju untuk memperkasa dan memperkukuhkan semula Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan pada 1982.

"Selama lebih tiga dekad, Malaysia dan Jepun memperoleh manfaat daripada  dasar tersebut dan mereka yakin dasar  itu akan terus memberi manfaat kepada kedua-dua negara terutama dalam bidang pembangunan pendidikan dan sumber manusia," kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata dalam pertemuan dengan Kono, Dr Mahathir mengulangi tawaran kepada Jepun untuk membuka cawangan universiti-universiti Jepun  di Malaysia bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Malaysia untuk belajar mengikut sistem pendidikan Jepun.

Menurut kenyataan Wisma Putra, dalam masa yang sama para pelajar juga boleh mempelajari bahasa Jepun dan yang lebih penting, mereka dapat mempelajari nilai dan budaya Jepun, yang terbukti telah membantu memacu kejayaan negara itu yang amat mengagumkan.

Menurut  Wisma Putra lagi, Dr Mahathir berkata universiti itu juga akan lebih mudah diakses penuntut Malaysia dan mampu menarik pelajar antarabangsa bukan sahaja dari rantau dekat tetapi juga dari rantau jauh seperti Afrika, Asia Tengah dan Timur Tengah.

Kementerian  Luar juga berkata Kono telah menyatakan akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan dan Teknologi negaranya berhubung tawaran Malaysia itu.

Wisma Putra berkata Dr Mahathir dan Kono juga gembira dengan keadaan semasa hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan berharap hubungan erat dan kerjasama yang telah sedia terjalin antara kedua-duanya dalam pelbagai bidang dapat diperkukuh dan dipertingkatkan lagi.

Pada 2015, Malaysia dan Jepun bersetuju untuk mempertingkatkan taraf hubungan mereka yang sedia kukuh kepada hubungan rakan strategik.

Menurut Wisma Putra, Dr Mahathir juga menyambut baik kesediaan Jepun untuk menghantar pakar-pakarnya ke Malaysia untuk mengkaji pelbagai kaedah untuk mengoptimumkan penggunaan sistem pengangkutan kereta api di Malaysia terutama sistem landasan berkembar.

"Berikutan rakyat Malaysia semakin menerima baik penggunaan pengangkutan awam, langkah untuk mengoptimumkan penggunaan sistem pengangkutan kereta api akan dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di pusat bandar raya," kata Wisma Putra lagi.

Wisma Putra berkata Dr Mahathir dan Kono juga berbincang mengenai pelbagai perkara berhubung perkembangan serantau termasuk isu-isu berkaitan Semenanjung Korea.

"Perdana Menteri dan Kono bersetuju bahawa masyarakat antarabangsa harus menyokong usaha pelupusan senjata nuklear di Semenanjung Korea dan pada masa yang sama komited untuk melaksanakan sekatan di bawah resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," tambahnya.

Mengenai perkembangan di Laut China Selatan, Dr Mahathir dan Kono bersetuju agar ASEAN memainkan peranan lebih aktif dan menguruskan situasi dan konflik di Laut China Selatan.

"Jepun telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam perkara ini," kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata Jepun juga memaklumkan bahawa ketua perundingnya untuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan datang ke Malaysia untuk memberi penerangan kepada Kerajaan Malaysia mengenai perjanjian itu.

Dr Mahathir turut melahirkan rasa dukacita atas kejadian banjir dan tanah runtuh di barat Jepun.

Kejadian yang berpunca daripada hujan lebat itu telah menyebabkan kerosakan teruk di beberapa kawasan di Hiroshima, Osaka, Shiga, Hyogo, Okayama, Kyoto dan Fukuoka, mengakibatkan lebih 100 nyawa terkorban dan banyak lagi yang masih hilang.

-- BERNAMA

No comments

Loading...