Header Ads

Pinjaman yen kurang kos hutang: PM


KUALA LUMPUR - Pinjaman kewangan daripada Jepun dapat mengurangkan kos hutang yang ditanggung kerajaan ketika ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pinjaman itu dapat mengurangkan 'high cost of money' kerana kadar faedah hutang yang diambil kerajaan dahulu terlalu tinggi iaitu enam peratus.

Loading...

“Goldman Sachs pula diberi komisen 10 peratus daripada jumlah hutang. Ini bermakna kerajaan dahulu hanya mendapat 90 peratus daripada wang yang dihutang tetapi bayar faedah 100 peratus.

“Mata wang Jepun iaitu yen lebih murah daripada ringgit iaitu yen bernilai AS$ satu sen, manakala RM1 bernilai AS$ 25 sen. Namun nilai yen yang rendah tidak bermakna hutang lebih murah.

“Kita akan pinjam yen sebanyak nilai AS$ atau RM yang kita hutang dahulu. Yen akan ditukar kepada AS$ untuk bayar hutang dalam mata wang AS$ atau ringgit,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) di sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, membayar semula hutang yen berfaedah rendah bermakna negara tidak lagi dibebankan dengan faedah tinggi lebih daripada enam peratus hutang asal.

“Kita masih berhutang tetapi kos hutang menurun. Itu sebab kita cuba dapatkan pinjaman yen daripada Jepun,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai), Dr Mahathir berkata, hutang kerajaan tidak boleh melebihi kadar siling ditetapkan iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


“Kadar 55 peratus tiap-tiap tahun tak sama tapi kerajaan tak pernah hutang lebih daripada beberapa bilion. Kita terbatas dengan siling ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, apabila sesebuah syarikat milik kerajaan berhutang melebihi siling, kerajaan bertanggungjawab membayar hutang tersebut.

“Sebab itu hutang meningkat sehingga ada yang tak dicatit. Hutang 1MDB terutamanya dipulang balik kepada Kementerian Kewangan dan jadi hutang kerajaan,” katanya.

No comments