Header Ads

Perkembangan HFMD Di Pulau Pinang Sedikit Mencemaskan - Dzulkefly


PUTRAJAYA -- Perkembangan terkini penularan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Pulau Pinang sedikit mencemaskan, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata sehingga semalam, sebanyak 1,616 kes jangkitan HFMD direkodkan di Pulau Pinang, peningkatan ketara daripada hanya kira-kira 1,500 kes pada Jumaat lalu.

Dzulkefly bagaimanapun berkata keadaan itu dikategorikan sebagai masih terkawal berikutan langkah kawalan bagi menanganinya yang diambil kementerian dan Pengarah Kesihatan Negeri itu.

Loading...

"Sejak awal kes ini dikesan, saya juga sudah berhubung dengan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil.

"Berikutan itu, Dr Azman mengeluarkan arahan kepada semua Pengarah Negeri dan Pengarah Hospital agar mengambil langkah segera untuk membendung gejala itu daripada terus merebak," katanya kepada pemberita pada majlis bersama warga kementerian itu di sini hari ini.

Dzulkefly berkata Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan juga telah diarah menjalankan siasatan dan mengambil langkah segera yang lebih efektir bagi mengawal dan menangani jangkitan penyakit itu.

Pada Jumaat lepas, anggota Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr Afif Bahardin dilaporkan berkata 1,555 kes HFMD berlaku di negeri berkenaan antara Januari hingga 4 Julai tahun ini berbanding 1,050 kes bagi tempoh sama pada 2017.

HFMD adalah penyakit disebabkan virus dan antara gejalanya ialah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut serta lidah.

Dalam pada itu, Dzulkefly menzahirkan keyakinan beliau dengan komitmen warga kementerian dalam menjalankan tugas, khususnya mereka yang berkhidmat di hospital dan tiada 'spot check' diperlukan bagi membuktikan keyakinan tersebut.

Beliau berkata perlakuan 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga' tidak akan menjejaskan keseluruhan perkhidmatan kementerian kerana setiap warganya telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan ke tahap lebih baik.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata keadaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mohamed Hanipa Maidin kini stabil, namun masih perlukan pemerhatian rapi doktor sebelum dibenarkan keluar dari hospital.

Saya diberitahu beliau stabil dan telah keluar daripada bahaya, cuma masih perlu dipantau untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam, katanya.

Dalam kejadian pagi tadi, Mohamed Hanipa, 49, yang berdiri paling kanan pada perhimpunan bulanan Perdana Menteri bersama warga JPM tiba-tiba jatuh daripada pentas.

Anggota Parlimen Sepang itu terus diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mohamed Hanipa yang bertanggungjawab dalam undang-undang adalah antara tiga Timbalan Menteri di JPM yang mengangkat sumpah pada 2 Julai lepas.

-- BERNAMA

No comments

Loading...