Header Ads

Penduduk kumpul dokumen lapor SPRM

  Keratan akhbar Sinar Harian 20 Julai lalu. Gambar kecil: Mohd Zaid

KOTA SARANG SEMUT - Penduduk Kampung Bakar Sampah sedang mengumpul dokumen bagi membolehkan mereka membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan status tanah yang mereka duduki sejak puluhan tahun lalu.

Penduduk, Mohd Zaid Ismail, 36, berkata, tanah yang mereka diami sejak sekian lama dimiliki oleh individu berbangsa Cina sedangkan status tanah berkenaan adalah rizab Melayu.

Loading...

Katanya, mereka juga bimbang kerana tempoh masa untuk perobohan rumah mereka berbaki seminggu sahaja lagi.

“Kami masih mengharapkan bantuan dan keprihatinan kerajaan untuk membantu kami menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri ada menyediakan transit untuk mereka yang terletak di Mergong bagi tempoh dua tahun.

“Namun begitu, berat bagi kami untuk tinggal di sana, macam mana kami nak pi duk di sana sedangkan punca rezeki kami di sini.

“Ramai dalam kalangan kami yang duk buat bendang kalau pi duk sana nak makan ambil mana pula,” katanya.

Mohd Zaid berkata, tambahan pula penduduk di kampung berkenaan kebanyakannya adalah pesawah.


“Lagi pula kerajaan bagi duduk di transit tu dua tahun saja, lepas tu kami nak pi pindah duduk mana pula?

“Kasihanilah kami, bantulah kami itu sahaja yang kami dapat kata, Mergong tu jauh kira-kira satu jam juga perjalanan, tak kan kami nak ulang alik duduk sana dan mai buat bendang di sini.

“Insya-ALLAH kami akan lengkapkan dokumen dan laporan SPRM akan dibuat dalam masa terdekat,” ujarnya.

Sebelum ini, Sinar Harian ada menyiarkan laporan berkaitan penduduk Kampung Bakar Sampah yang bakal kehilangan tempat berteduh berikutan rumah mereka bakal dirobohkan.

No comments