Header Ads

Najib Mampu Bayar Peguam Bela Amerika Syarikat?


KUALA LUMPUR - Tindakan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan khidmat sekumpulan peguam terkemuka Amerika Syarikat dikritik, kerana bakal menelan kos guaman yang tinggi.

Bekas menteri dan veteran Umno, Tan Sri Rais Yatim mempersoalkan 'kemampuan kewangan' Najib untuk membiayai kos guaman berkenaan.

Loading...


Katanya, bayaran ikat jamin sebanyak RM1 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd baru-baru ini, menggunakan wang hasil kutipan Umno, lapor Sinar Harian.

Rais sebaliknya, mengesyorkan Najib agar memberi kepercayaan kepada peguam BN atau  Umno untuk membelanya bahkan mungkin beliau akan diberikan khidmat guaman secara percuma termasuk proses perbicaraan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu.

"Berita ramai peguam Amerika Syarikat untuk bela kes bekas perdana menteri amat menonjol. Takkanlah peguam tempatan tak hebat sebagai peguam bela?

"Lagipun, peguam Amerika Syarikat itu tentu perlu dibayar dengan kos berjuta ringgit, sedangkan duit ikat jamin pun kena tekyan (kutip wang). Yakinlah dengan peguam BN atau Umno boleh beri khidmat percuma dan lebih cekap, malah bahasa Melayu pun boleh,"tulis Rais di Twitternya.

Sebelum ini, kecoh apabila Najib menggunakan khidmat sekumpulan peguam terkemuka Amerika Syarikat dikatakan mungkin berkenaan isu saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat untuk menyiasat kes 1MDB.


Kumpulan peguam handal itu dari Ashcroft Law Firm, yang diterajui bekas Peguam Negara Amerika Syarikat, John Ashcroft, mendaftarkan nama Najib sebagai anak guam dalam daftar melalui Akta Pendaftaran Ejen Asing (Fara).

Menurut dokumen itu, firma tersebut dilantik untuk memberi nasihat undang-undang kepada Najib mengenai 'tindakan tidak wajar oleh pihak ketiga untuk cuba menggugat kerajaan Malaysia.'

Dalam dokumen itu juga, ia menyatakan perkhidmatan disediakan oleh Ashcroft Law Firm dibiayai 'kerajaan asing, parti politik asing atau prinsipal asing yang lain."

Wall Street Journal pada tahun lalu melaporkan Najib melantik firma guaman itu untuk menasihati beliau mengenai kes 1MDB pada 2016.

Ashcroft Law Firm pernah mewakili kerajaan Qatar untuk menangkis tuduhan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan jiran Arabnya bahawa negara itu menyokong keganasan

No comments

Loading...