Header Ads

Musa Aman Tidak Hadir, Semua Wakil Rakyat Sabah Angkat Sumpah


KOTA KINABALU, 2 Julai — Semua wakil rakyat yang menyokong kepimpinan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, kecuali Musa sendiri, mengangkat sumpah semula sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah hari ini.

Angkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali, berlangsung kira-kira jam 8.30 pagi, sebelum pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan DUN Sabah Ke-15 di sini.

Presiden parti Solidariti Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata dia ada menerima surat dari pejabat Speaker DUN Sabah bertarikh 17 Jun untuk hadir hari ini untuk mengangkat sumpah sebagai anggota DUN.


Loading...

“Kita patuh kepada arahan Speaker sebab Speaker ada kuasa terasing. Jadi kita patuh kepada Speaker,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pembukaan persidangan DUN Sabah di sini hari ini.
Menurut Dr Jeffrey, semasa majlis angkat sumpah berkenaan Speaker DUN Sabah dan dua timbalannya turut hadir.

Sementara itu, ADUN Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun berkata tidak timbul soal angkat sumpah mereka pada kali pertama pada 12 Jun lepas sebagai sah atau tidak sah kerana mereka cuma patuh kepada arahan Speaker.

Pada 11 Jun, semua 43 ADUN, termasuk empat ADUN dilantik, kerajaan baharu yang diketuai Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir ke Persidangan Khas DUN Sabah untuk mengangkat sumpah sebagai anggota DUN Sabah dan pada persidangan itu juga DUN Sabah meluluskan undi percaya kepada Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun semua 21 ADUN dari UMNO dan bekas anggota komponen Barisan Nasional seperti PBS, PBRS, UPKO serta parti Solidariti yang masih setia dan menyokong kepimpinan Pengerusi Barisan Nasional Sabah Musa tidak menghadiri persidangan khas itu.

Pada keesokan harinya (12 Jun), 19 daripada 21 ADUN berkenaan tampil mengangkat sumpah sebagai anggota DUN Sabah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.

Setakat ini, hanya Musa, yang juga ADUN Sungai Sibuga dan sedang menjalani rawatan kesihatan di United Kingdom sahaja, belum mengangkat sumpah sebagai Anggota DUN Sabah. — Bernama

No comments

Loading...