Header Ads

Mohamed Hanipa Stabil - PM


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kesihatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin semakin stabil dan bertambah baik.

"Mohamed Hanipa yang rebah pagi tadi berada di hospital dan keadaannya okay (stabil)," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika disoal media mengenai status perkembangan terkini kesihatan Mohamed Hanipa.


Loading...

Awal pagi tadi, Mohamed Hanipa rebah dari pentas ketika perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Dataran Bangunan Perdana Putra.

Hadirin yang hadir terkejut apabila beliau tiba-tiba jatuh dari pentas ketika Dr Mahathir sedang berucap.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berdiri sebaris dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa terus meluru ke sisi Mohamed Hanipa untuk memberikan bantuan.

Dr Wan Azizah terus memberikan rawatan awal dengan memusingkan badan Hanipa ke kedudukan lebih baik.

Sementara itu, pasukan paramedik terus bergegas memberikan rawatan dan mengangkat beliau ke pengusung, sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya.

Dr Mahathir yang terkejut dengan kejadian itu berhenti berucap buat seketika, namun kembali meneruskan ucapannya.

Pada 2016, Mohamed Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang pernah menjalani pembedahan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Jabatan Neurologi Hospital Kuala Lumpur akibat serangan angin ahmar.

Beliau juga pernah pengsan secara tiba-tiba ketika sidang Dewan Rakyat.

- BH Online

No comments

Loading...