Header Ads

MOF Tidak Akan Sokong Pembiayaan LRT3 Jika Tiada Pengurangan Kos Yang Drastik


KUALA LUMPUR -- Kementerian Kewangan (MoF) tidak akan menyokong sebarang pembiayaan tambahan yang diperlukan bagi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) jika tiada pengurangan kos yang drastik tanpa menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kementerian telah meminta pemilik projek, Prasarana Malaysia Bhd menyemak semula kos projek untuk memastikannya berdaya maju.


Loading...

“Kos keseluruhan projek sebanyak RM31.45 bilion, akibat kelemahan pengurusan oleh Prasarana Malaysia, memerlukan pengurangan kos yang drastik untuk memastikan LRT3 kos efektif dan berdaya maju,” katanya.

Pada 2015, Prasarana Malaysia mendapat jaminan kerajaan bagi kemudahan bon bernilai RM10 bilion untuk membiayai projek itu.

Bagaimanapun, Prasarana telah meminta jaminan kerajaan tambahan sebanyak RM22 bilion pada 30 Mac tahun ini untuk memastikan pembiayaan bagi pembinaan dan menyiapkan projek itu, kata Lim.

Menteri itu berkata terdapat beberapa laporan media bahawa kos LRT3 boleh dikurangkan sebanyak RM6 bilion.

"MoF ingin menegaskan kos projek perlu dikurangkan lebih daripada RM6 bilion supaya projek tersebut dapat diteruskan," katanya.

-- BERNAMA

No comments

Loading...