Header Ads

Menteri Jumpa Peguam Negara, Bincang Pengundi 18 Tahun

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto: Projek MM

KUALA LUMPUR ― Usul had umur layak mengundi daripada 21 tahun direndahkan kepada 18 tahun akan dibawa ke kabinet dan Parlimen tidak lama lagi, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq yang bertekad untuk memastikan perkara itu menjadi kenyataan, berkata beliau bertemu dengan Peguam Negara Tommy Thomas hari ini bagi membincangkan antaranya pindaan undang-undang yang perlu bagi tujuan tersebut. 

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya bertanggungjawab untuk berjuang bagi pemerkasaan belia.

Loading...


“Kami berbincang tentang meminda undang-undang sedia ada untuk merendahkan usia layak mengundi kepada 18 tahun seperti yang diamalkan di seluruh dunia.

“Ini bermakna suara belia akan bertambah lantang dan kuat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Anggota Parlimen Muar itu pindaan sedemikian akan memberikan peranan yang lebih penting kepada belia dalam proses membina negara.

Beliau berkata berbeza dengan negara seperti Filipina, Indonesia, Thailand, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis yang mengiktiraf intelek dan kematangan golongan berusia 18 tahun mereka, ada rakyat Malaysia yang menggelar mereka ‘bodoh’ atau ‘tidak matang’.

“Ahli politik daripada semua pihak harus berjuang untuk kepentingan orang muda dan tidak boleh mengabaikan mereka.



“Ini bermakna kita mesti didik belia kita dengan lebih baik agar mereka boleh menjadi pengundi yang terdidik.

“Sudah tiba masanya untuk kita mengubah perkara ini. Saya mahu mereka menjadi sebahagian daripada proses pembinaan negara. Ini adalah Malaysia kita, bersama, selamanya,” katanya.

Usul itu merupakan antara janji dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan. ― Bernama

No comments


Loading...