Header Ads

Menteri Dedah 30 Peratus Kedai Mamak Naikkan Harga Walau GST Sifar

Datuk Saifuddin Nasution Ismail - Foto: The Star

PUTRAJAYA, 12 Julai — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati 30 peratus restoran mamak di seluruh negara menaikkan harga makanan selepas penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar 1 Jun lalu.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata peratusan tersebut diperolehi hasil tinjauan kementerian melalui perbandingan harga makanan di premis terbabit sebelum dan selepas pelaksanaan GST sifar itu.

“Kami dapati harga makanan di 30 peratus kedai mamak telah berlaku kenaikan harga manakala 70 peratus yang lainnya menyaksikan penurunan.


Loading...

“Oleh itu kami kini giat mengenal pasti restoran yang masih degil untuk tidak menurunkan harga makanan,”katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian pertamanya sejak dilantik sebagai menteri, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata hasil tinjauan juga memerlukan kementerian memikirkan tindakan yang bersesuaian memandangkan penguatkuasaan di kementerian itu banyak menggunakan pendekatan mendidik berbanding mendenda peniaga.

“Untuk kesalahan pertama kita akan nasihat, asalkan tiada pelanggaran undang-undang secara berlebihan. Sekiranya kesalahan terbabit berulang barulah tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pihaknya sedang merangka dasar pembaziran sifar yang merangkumi polisi untuk mengurangkan ketirisan subsidi barangan keperluan pengguna.

“Dasar terbabit turut mengandungi polisi bank makanan iaitu pasar raya akan mengagihkan lebihan barangan keperluan pengguna kepada golongan sasaran.

“Kami harap dengan adanya dasar ini program (bank makanan) akan disertai oleh pasar raya atau gedung terkemuka untuk sama-sama membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Menurutnya, polisi tersebut telah dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Singapura dan ia boleh dilaksanakan di Malaysia selepas diubah mengikut kesesuaian. — Bernama

No comments

Loading...