Malaysia Perlu Tumpu Kepada Pertumbuhan Dan Bukan Penjimatan, Kata Tony Fernandes
KUALA LUMPUR -- Ekonomi Malaysia berada dalam kedudukan yang
baik pada masa ini dan kerajaan perlu menumpukan kepada pertumbuhan dan bukan
mengambil langkah berjimat cermat, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group
Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada
meningkatkan kecekapan dan produktiviti untuk menambah pekerjaan dan menjadi
daya penggerak di ASEAN.
“Tumpu kepada industri yang dapat menjana pendapatan dengan
segera, selain teknologi dan idea yang dapat menghasilkan pertumbuhan yang
besar (kepada negara),” katanya dalam catatan terkini di Twitter.
Loading...
Fernandes berkata dengan mencatat pertumbuhan ekonomi akan
membolehkan kerajaan menguruskan hutangnya.
Beliau turut percaya ringgit akan mengukuh kepada 3.80
berbanding dolar US tidak lama lagi.
Bank Negara Malaysia telah mengumumkan hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM686.8 bilion sehingga
pada akhir 2017, bersamaan dengan 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK).
Dalam pada itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hutang
dan liabiliti Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.08 trilion sehingga pada 31
Dis, 2017.
Ini termasuk hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8
bilion dan jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion untuk membayar bagi pihak
entiti, yang tidak dapat membayar hutang mereka, katanya.
Beliau berkata kerajaan turut komited kepada bayaran pajakan
untuk sewa, penyelenggaraan dan caj lain sebanyak RM201.4 bilion bagi projek
kerjasama awam-swasta seperti pembinaan sekolah, asrama, jalan raya, balai
polis dan hospital.
Terdahulu dalam Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Tun
Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan
kemudahan pinjaman dari Jepun bagi mengurangkan ‘high cost of money’ kerana
kadar faedah hutang yang diambil pentadbiran terdahulu terlalu tinggi iaitu
sebanyak enam peratus.
Beliau berkata nilai yen Jepun lebih murah berbanding ringgit
dengan satu yen bersamaan 1 US cent, manakala RM1 bernilai 25 US cents, dan
membayar balik hutang negara dengan yen Jepun bermakna negara tidak dibebani
dengan kadar faedah tinggi sebanyak lebih daripada enam peratus.
-- BERNAMA
Post a Comment