Header Ads

Lelaki 'gergaji' lelaki dicari...

MICHAEL (kanan) menunjukkan kesan jahitan akibat kecederaan (gambar kecil) yang dialami Lai akibat dipukul dengan gergaji, hari ini. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein/Ihsan Biro Aduan MCA

HANYA kerana memotong barisan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Woodlands, Singapura, seorang lelaki berdepan risiko cacat kekal di tangan kirinya termasuk ibu jarinya tidak boleh digerakkan akibat dipukul dengan gergaji oleh penunggang motosikal lain.

Dalam kejadian jam 3.30 petang pada 31 Mei lalu, Lai Kok Thon, 22, menunggang motosikal Yamaha R25 untuk pulang ke Malaysia selepas tamat bekerja sebagai pekerja penghantaran barang di republik itu.

Loading...

Lai berkata, ketika itu dia memotong barisan di laluan pemeriksaan sebelum seorang penunggang motosikal berusia 40-an berang dan melanggar bahagian belakang motosikalnya.

Katanya, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum lelaki berkenaan mengeluarkan gergaji dari kotak barang di motosikalnya.

“Memotong barisan adalah perkara biasa yang berlaku di Woodlands dan saya tidak sangka ia memudaratkan saya. Selepas melihat lelaki itu mengeluarkan gergaji, saya mahu beredar tetapi dia menjerit supaya menunggu dia di Johor Bahru.

“Kira-kira jam 4.30 petang (hari sama), ketika saya melepasi laluan keluar di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, saya nampak dia menunggu saya. Saya memberhentikan motosikal untuk berbincang, tetapi dia cuba memukul menggunakan gergaji.

“Saya secara spontan menumbuk muka lelaki itu untuk mempertahankan diri, namun saya dilibas dan dipukul menggunakan gergaji,” katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Johor Bahru, hari ini.

Lai berkata, lelaki itu kemudian melarikan diri sebelum seorang pemandu kereta berhenti dan membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan.

Menurutnya, dia kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Kempas dan menerima 24 jahitan pada tangan kirinya yang cedera.

“Saya juga mengalami kecederaan dalaman seperti kerosakan saraf menyebabkan ibu jari kiri tidak boleh digerakkan. Saya mendapat cuti sakit selama dua bulan hingga akhir bulan ini.

“Kos perubatan menelan belanja RM22,000 dan doktor memberitahu saya perlu menjalani satu lagi pembedahan jika mahu ibu jari kembali pulih,” katanya.

Menurutnya, dia kesal kerana tiada sebarang tindakan atau perbincangan dilakukan selepas membuat laporan polis walaupun identiti lelaki itu berjaya dikesan menerusi nombor pendaftaran motosikalnya iaitu Yamaha 135LC.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Johor Bahru Michael Tay Chee Boon berkata, pengadu memohon bantuan untuk menyelesaikan kes terbabit dan berharap lelaki itu tampil untuk berbincang atau membayar kos perubatan berjumlah RM22,000.

“Pengadu hanya mahu lelaki tampil berbincang dan membantu menanggung kerugiannya mencecah RM22,000 bagi merawat kecederaan,” katanya.

Pada masa sama, Michael menghubungi Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais dan diberitahu dua saksi berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan, esok.

Dalam perbualan telefon itu, Shahurinain berkata, siasatan kes berkenaan masih dijalankan.

“Kita sedia maklum dengan kes yang dinyatakan dan ia masih dalam siasatan. Kita akan memanggil dua saksi kejadian untuk mengambil keterangan mereka, esok,” katanya.

No comments