Header Ads

KPN Timbang Tindakan Undang-Undang Terhadap SR


KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report di atas laporannya yang mendakwa beliau menaja pembiayaan perjalanan pegawai polis dari seluruh negara untuk menghadiri perkahwinan anaknya, baru-baru ini.

“Saya sudah hampir bersara dan mempunyai cukup wang untuk membiayai majlis perkahwinan anak saya.

“Tidak ada apa-apa yang perlu saya sorokkan. Tiada wang milik kerajaan atau PDRM (Polis Diraja Malaysia) digunakan bagi membayar majlis atau membiayai kos perjalanan tetamu yang hadir dalam majlis itu,” katanya.


Loading...

Mohamad Fuzi menerusi satu kenyataan yang disiarkan oleh sebuah portal akhbar berbahasa Inggeris tempatan, hari ini, menegaskan bahawa hanya rakan sejawatnya dari Brunei hadir dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di Bandar Utama, Petaling Jaya pada awal bulan ini.

Ini sekali gus menafikan dakwaan beliau dikatakan mengundang pengurusan tertinggi polis di sekitar Asia untuk menghadiri majlis perkahwinan anaknya.

Mohamad Fuzi berkata, beliau bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan yang tersebar itu.

Khamis lalu, portal Sarawak Report melaporkan bahawa Bukit Aman menghantar undangan kepada pengurusan tertinggi polis di sekitar Asia.

Laporan itu turut mendakwa undangan itu dihantar menerusi kiriman emel pada 6 April dengan tajuk, “Wedding Reception of the Honourable IGP’s Daughter” (‘Majlis Resepsi Perkahwinan Anak Ketua Polis Negara) dan dimulakan dengan perkataan, “Greetings From The Royal Malaysia Police” (‘Salam Dari Polis Diraja Malaysia).

Sarawak Report juga menunjukkan paparan skrin emel yang tertera ayat; “We will provide Business Class return tickets for the police chief and his spouse, as well as a night in the swanky hotel” (Kami akan menyediakan tiket penerbangan pergi dan balik kepada ketua polis serta isteri selain penginapan di sebuah hotel mewah).

“Surat undangan dari PDRM itu menunjukkan bahawa pasukan polis akan membiayai perbelanjaan berkenan dan bukannya ketua mereka (Mohamad Fuzi). Ini menunjukkan contoh teladan tidak baik penyalahgunaan dana kepada pegawai lain yang berpangkat rendah,” lapor Sarawak Report. – BH ONLINE

No comments