Header Ads

Khianat Terhadap Negara: PATRIOT Adu Penulis Surat CIA Kepada Polis


Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyifatkan tindakan bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid menulis surat kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) sebagai satu pengkhianatan kepada negara.

Sehubungan itu, Patriot tampil membuat laporan polis di Balai Polis USJ 8, di sini hari ini bagi menggesa siasatan segera dibuat terhadap Hasanah dan surat berkenaan.

Presidennya, Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, berkata kandungan surat yang dihantar kepada Pengarah CIA, Gina Haspel itu boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara, lapor BH Online.

Katanya, penelitian terhadap kandungan surat berkenaan mendapati Hasanah melakukan kesalahan yang amat berat terhadap negara.


Loading...

"Kita mahu beliau (Hasanah) tampil dengan penjelasan, banyak perkara boleh dipersoalkan mengenai tindakannya menulis surat itu.

"Kita sedar helah yang ada pada CIA boleh mencorak dan mempengaruhi mana-mana kerajaan untuk mengikut acuan mereka, adakah ini yang dikehendaki oleh beliau?

"Dimana letaknya kesetiaan beliau pada negara? Adakah beliau mempunyai hubungan intim dengan kuasa luar itu, adakah beliau menulis surat itu atas arahan pihak tertentu atau kehendak sendiri," soalnya dalam sidang media di ibu pejabat Patriot, di sini, hari ini.

Mohamed Arshad berkata, keselamatan negara tidak boleh dikompromi dan apa sahaja penjelasan tidak mampu melindungi Hasanah daripada kesalahan yang dilakukan.

"Kami pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan, kami sayangkan negara dan akan menentang sesiapa sahaja yang cuba membawa kuasa luar mencampuri urusan dalaman negara.

"Sekali lagi kami tegaskan, perbuatan itu adalah pengkhianatan yang mesti diambil tindakan oleh pihak berwajib," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Choo Lily mengesahkan menerima laporan polis berkenaan.



Surat tiga halaman bertarikh 4 Mei lalu ditandatangani Hasanah dan diutuskan kepada Gina Haspel.

Menerusi surat terbabit, Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan JPM didakwa meminta Amerika Syarikat (AS) terus menyokong pentadbiran Datuk Seri Najib Razak jika Barisan Nasional (BN) menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menerusi surat itu, MIEO menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra AS serta akan terus menyokong kehadiran AS di rantau ini.

Tanpa kehadiran Najib sebagai pemimpin negara ini, agensi itu memberi gambaran yang AS bakal kehilangan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara, memandangkan Filipina sudah memutuskan ikatan dengan AS, sementara Singapura dan Brunei terlalu kecil untuk memberi impak, manakala Thailand serta Indonesia pula terlalu sibuk dengan masalah domestik masing-masing.

Tun Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu mengetuai barisan pembangkang pula disifatkan sebagai anti-Barat, anti-Yahudi, autokratik, menutup mulut pengkritik dengan keras dan mengabaikan sama sekali hak asasi manusia dan pemerintahan berdasarkan undang-undang.

No comments