Header Ads

‘Kerajaan PH Bukan Malaikat, Pemuda Umno Akan Jadi Suara Rakyat’

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno berjanji menjadi pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat bagi mengimbangi kelemahan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, belum genap 100 hari PH mentadbir negara, gabungan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu mencetuskan kemarahan dengan menyentuh pelbagai sensitiviti rakyat.

“Pemuda harus ke depan membawa suara hati dan denyut nadi rakyat supaya kita menjadi pengimbang kepada kerajaan yang ada sebab kerajaan yang ada kini bukanlah malaikat, tak ada dosa atau kesalahan. Mereka orang biasa.


Loading...

“Tak sampai 100 hari, mereka banyak sentuh isu fundamental negara, agama, Perlembagaan, tadbir urus yang hakikatnya menyerlahkan Pemuda Umno memainkan peranan suara rakyat bagi tujuan sedemikian,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno yang pertama sejak dipilih menerajui sayap itu bulan lalu, di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sebelum ini, ada laporan mendakwa hubungan kerajaan PH dan institusi raja tegang berhubung isu pelantikan peguam negara.

Asyraf yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, mereka tidak akan mencontohi sikap PH ketika menjadi pembangkang yang disifatkannya membangkang dengan emosi tanpa fakta.

“Pendekatan kami fokus kepada ilmu dan fakta, bukan pembangkang dulu (membangkang dengan) fitnah dan emosi.

“Tiada politik kotor, tapi bersifatkan harmoni, bersandarkan fakta demi kepentingan rakyat dan negara.

“Kita sedia berdialog dengan mana-mana pihak untuk menyatakan pendapat kami.”

Beku akaun tak lumpuhkan Umno

Asyraf berkata, tindakan membekukan akaun Umno tidak akan melumpuh atau membantut kemaraan parti itu.

“Jangan ingat mereka bekukan akaun kita, Umno akan lumpuh. Sebaliknya, apabila kita ditekan, semangat akar umbi Umno semakin membara, mereka bertambah ‘garang’ untuk berjuang.

“Meskipun akaun parti dibekukan, program Pemuda Umno masih berjalan kerana kita amalkan budaya baru, iaitu akar umbi sedia berkorban, mereka kumpul dana untuk adakan jamuan dan membiayai penginapan ketua mereka.


“Misalnya dalam siri jelajah ke Sabah, saya hanya membayar tiket penerbangan. Kami tidak tinggal di hotel, sebaliknya hanya bermalam di rumah pemimpin Pemuda di sana, jamuan pula hasil kutipan dana. Kini, kita amalkan budaya pengorbanan demi perjuangan.”

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah membekukan akaun PPBM ketika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) menggantung parti itu.

“Umno tak pernah kekang parti politik yang dulunya pembangkang. Walaupun PPBM pernah digantung oleh JPPM, tapi tidak pula kita bekukan akaun mereka.”

Sokong undang-undang dana politik

Sementara itu, beliau menyambut baik cadangan kerajaan PH memperkenalkan undang-undang berkaitan pembiayaan dana politik untuk membanteras amalan rasuah.

“Saya rasa kita memang dah lama dah nak gubal akta tersebut sebab dulu mendapat tentangan daripada pihak parti yang hari ini dah jadi pemerintah, dulu pembangkang.

“Bagi kami, kita harus bersifat telus dalam konteks sumbangan yang nak diberikan kepada parti politik dan ini akan memberikan satu isyarat dan mesej jelas kepada rakyat, tidak ada apa yang perlu kita sorokkan apabila kita ada akta sedemikian.

“Ini bukan perkara baru, ia dah diamalkan di banyak negara maju.”

- Free Malaysia Today

No comments

Loading...