Header Ads

Kerajaan Akan Runding Dengan Singapura Tangguh Projek HSR - Dr Mahathir


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan berunding dengan Singapura untuk menangguhkan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Kuala Lumpur mendapati pihaknya tidak dapat meneruskan projek itu dalam keadaan kewangan negara sekarang.


Loading...

"Pada masa ini, (apabila) kami melihat kepada kedudukan kewangan negara, kami berpendapat kami tidak dapat meneruskan projek itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dr Mahathir berkata projek itu mungkin boleh diteruskan pada masa akan datang dengan mengurangkan kosnya.

Kata beliau, tindakan membatalkan projek itu secara unilateral akan menyebabkan sejumlah besar pampasan perlu dibayar kepada pihak terjejas.

Kerajaan Pakatan Harapan mendedahkan bahawa kos sebenar landasan kereta api sepanjang 350km yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu ialah RM110 bilion, sekali ganda daripada RM55 bilion yang diumumkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata nasib projek itu bergantung pada mesyuarat antara beliau dan Singapura yang dijangka diadakan menjelang akhir bulan ini.

-- BERNAMA

No comments

Loading...