Header Ads

Kenali Speaker Dewan Rakyat Pilihan PH


KUALA LUMPUR, 15 Julai — Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, yang menjadi pilihan Pakatan Harapan sebagai Speker Dewan Rakyat kesembilan adalah seorang yang mahir dalam undang-undang komersial, perbankan, sekuriti, arbitrasi, perlembagaan dan undang-undang pentadbiran.

Mohamad Ariff, 69, dari Sungai Petani, Kedah, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of London (London School of Economics), dan memulakan karier pada 1974 sebagai pensyarah undang-undang sebelum diiktiraf sebagai profesor madya di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya.

Bapa kepada lima cahaya mata ini meninggalkan dunia akademik pada 1986 untuk berkecimpung dalam pengamalan undang-undang sebagai peguam dan peguam bela, yang beliau juga seorang daripada rakan pengasas Cheang & Ariff.


Loading...

Dari 1993 hingga 1995, Mohamad Ariff bercuti daripada pengamalan undang-undang untuk menyertai  Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang baru ditubuhkan ketika itu, sebagai pengarah pertama Jabatan  Penyeliaan Pasaran.

Semasa penglibatannya dalam dunia perdagangan, Mohamad Ariff juga pernah berkhidmat sebagai pengarah Bursa Opsyen dan Pasaran Hadapan (1995-1996); anggota Jawatankuasa Kajian Semula Penarafan (RRC), Malaysian Rating Agency (MARC) (sehingga 2008) dan anggota Lembaga Penasihat Akademi Latihan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (2007-2008).

Pengalaman kehakiman Mohamad Ariff bermula September 2008 apabila beliau dilantik sebagai  Suruhanjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya dan dalam tempoh setahun beliau dilantik  sebagai  hakim mahkamah tinggi pada Oktober 2009.

Pada September 2012, beliau dilantik hakim Mahkamah Rayuan sebelum pulang semula ke Cheang & Ariff sebagai jururunding selepas bersara daripada Kehakiman Malaysia awal 2015. Beliau juga adalah  anggota Akademi Kehakiman, Suruhanjaya Pelantikan  Kehakiman (2012-Januari 2015).

Mohamad Ariff dikenali sebagai tidak aktif dalam politik meskipun kini beliau anggota Parti Amanah Negara.

Semasa penglibatannya dalam penghakiman, beliau mempamerkan keupayaan dalam memperjuang keadilan. Malahan beliau sebagai hakim bagi kes Mohammad Nizar Jamaluddin melawan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir pada 2009 semasa krisis perlembagaan Perak. Namun beliau menarik diri atas dasar semasa amalan dalam swasta beliau mewakili PAS dalam beberapa petisyen pilihan raya, Parti Keadilan  Rakyat (PKR) dalam beberapa perkara serta mewakili Barisan Nasional dalam petisyen di Sarawak.

Satu daripada kes besar yang beliau pernah kendalikan semasa berkhidmat di Mahkamah Rayuan  ialah keputusan terbuka kontroversi berhubung kematian pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia. Panel terdiri daripada tiga orang yang diketuai beliau menolak keputusan terbuka itu terhadap kematian Teoh dan menyatakan kematian itu akibat tindakan tidak mengikut undang-undang oleh seorang atau lebih dan meminta agar dijalankan siasatan lanjut atas kematian itu.

Awal hari ini, sebelum kembali ke Kuala Lumpur selepas lawatan dua hari ke Kuching, Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa Mohamad Ariff akan dicalonkan sebagai Speker Dewan Rakyat apabila bersidangnya sesi pertama persidangan Parlimen ke14 pada esok. — Bernama

No comments


Loading...