Header Ads

Kastam Mesti Periksa Barang Lain Yang Dibeli Rosmah


oleh Shahbudin Husin

Sejumlah 44 unit barangan kemas bernilai hampir RM60 juta yang kini menjadi pertikaian antara tukang emas dari Lubnan dengan pihak polis yang merampasnya daripada kediaman serta kondo yang dikaitkan dengan Najib Razak, kini berdepan satu lagi cabaran baru.

Pihak kastam dilaporkan berkata, kesemua barangan itu akan berdepan rampasan oleh pihaknya jika kemasukannya sebelum ini tidak dibuat perisytiharan melalui jabatan itu.

Apa-apa barangan yang belum atau tidak diisytiharkan kemasukannya melalui kastam boleh berdepan dengan rampasan, kata Ketua Pengarah Kastam, T Subromanian.

Loading...


Apakah hanya 44 barangan kemas itu saja yang dibawa masuk tanpa perisytiharan kastam?

Bagaimana dengan 12 ribu unit barangan kemas yang turut dirampas sebelum ini?

Begitu juga, bagaimana dengan 567 beg tangan mewah dan 423 utas jam tangan mahal yang juga dirampas pihak polis?

Adakah semua barangan itu dibawa masuk dengan membuat perisytiharan kepada kastam atau sebaliknya?

Tidak mungkinkah semua atau sebahagiannya dibawa masuk secara haram dengan diberi keistimewaan pengecualian cukai atas kedudukan sebagai isteri Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika itu?

Terlanjur pihak kastam sudah bercakap mengenainya, amatlah wajar mereka kini memeriksa keseluruhan barangan yang dirampas itu untuk menentukan sama ada cukainya sudah dibayar atau wujud unsur-unsur mengelak cukai?

Daripada keseluruhan barangan yang dirampas polis yang dianggarkan bernilai antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion itu, kalau cukainya tidak dibayar, berapakah jumlah pengelakan cukai keseluruhannya?

Ini satu lagi perkara yang rakyat berhak tahu dalam konteks Malaysia Baru.

*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik terkenal. Artikel adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian Malaysian Update.

No comments


Loading...