Header Ads

“Kami Semua Senyap Apabila Mahathir Sebut Kes Altantuya”

Aktivis politik terkenal Hishamuddin Rais ketika menemubual Tun Dr Mahathir dalam rancangan radio Bangsa Utama. – Foto Youtube

oleh Hishamuddin Rais

“Dia ni desperate… dia akan lakukan apa sahaja…dia tahu dia akan masuk penjara….” kata Dr Mahathir Mohamad.

Sekali lagi Mahathir mengunakan perkataan desperate. Ini kata-kata pembukaan Mahathir tiga hari sebelum Rabu 9 Mei 2018. Mahathir membuka surah apabila saya bertanya, “Tun, what is your reading now? Apa keadaan sekarang?”

Saya bertanya di hadapan Mat Sabu, Dr Syed Husin Ali, Khairul Anuar Ahmad Zainudin aka Jonah. Ini pertemuan war room PKR dengan Mahathir di rumah kediaman Mahathir di The Mines pada jam 7.45 petang, Ahad 6 Mei 2018 tiga hari sebelum mengundi.

Loading...

“Betulkah sudah ada senarai tangkapan,” Syed Husin menimbulkan tentang senarai orang yang dikatakan akan ditangkap.
Syed Husin telah menimbulkan perkara ini dalam perbincangan war room PKR. Mahathir tidak menjawab.

‘Najib sesak nafas’

“Dia desperate….” Sekali lagi Mahathir menggunakan perkataan desperate. Desperate dalam bahasa Melayu ertinya terdesak. Dalam lain perkataan ertinya tertekan. Dalam istilah perubatan si Najib ini sedang sesak nafas.

Justeru daripada bacaan Mahathir, si Najib ini sedang terdesak dan sesak nafas. Sosok yang terdesak dan sesak nafas akan melakukan apa sahaja untuk terus hidup bernafas. Dalam hal ini bacaan Mahathir tepat sekali.

Najib dikaitkan dengan kes pembunuhan, kata Mahathir.

Kami semua senyap sebentar apabila Mahathir berkata sedemikian. Kami berpandangan sesama sendiri.

Bila Mahathir membuka mulut tentang kes itu kami senyap. Kami mahu dengar apa lagi yang Mahathir tahu dan akan buka kepada kami. Saya membuka mata dan memasang telinga.

Selain daripada kes 1MDB, kes Altantuya terus dikaitkan dengan Najib.

Kes bunuh ini lebih senang difahami oleh mak cik dan pak cik Felda. Bunyinya pun sensasi. Justeru anak semua bangsa sedar, jika Najib kalah maka Najib akan masuk penjara – tanpa mengira apa kes.

Tapi pada petang itu bukan kes bunuh yang ingin kami tuntaskan. Kami datang bertemu Mahathir untuk meneliti kali akhir strategi PRU14.

Syed Husin, seorang ahli akademik – meneruskan budaya akademia – telah menuliskan keputusan war room PKR dalam sekeping kertas A4.

Kertas ini diberikan kepada Mahathir. Mahathir membelek, membaca dan menyimpan kertas ini. Kami terus berbincang.

‘Jangan concede’

Untuk saya yang amat penting ialah garis jangan concede (menyerah) – jangan terima keputusan PRU14 kerana ditipu. Saya telah berjaya menghasut dan meyakinkan war room PKR untuk menerima garis ini.

Saya telah juga menghasut Mahathir untuk menerima strategi ini. Justeru dalam nota A4 yang disampaikan oleh Syed Husin kepada Mahathir isinya terus memperkukuhkan lagi strategi jangan concede.

Hakikatnya pada petang itu tujuan pertemuan adalah untuk menjalinkan kesefahaman antara pandangan war room PKR dengan strategi induk Pakatan Harapan.

Diharapkan strategi tidak sampau-larau. Langkah dan tindak tanduk dalam rentak yang sama. Dan tidak ada percangahan langkah. Amin

“Akan melakukan apa sahaja…” Bunyi ayat yang diucapkan oleh Mahathir pada petang itu terus berdesing dalam telinga saya.

Ayat ini menjadikan saya gerun dan agak takut.

Apakah ada yang tersorok dalam saku orang yang terdesak? Apakah akan berlaku huru-hara? Apakah akan berlaku bentrokan? Apakah akan berlaku kacau-bilau?

Saya cukup yakin Najib memilih Rabu 9 Mei 2018 sebagai hari mengundi pilihan raya umum dengan niat jahat. Tarikh ini sengaja dipilih kerana 13 Mei jatuh empat hari sesudah PRU14.

Tarikh 13 Mei ini selalu digunakan oleh United Malays National Organisation (Umno) untuk menakut-nakutkan anak semua bangsa.

Daripada sudut pandangan sejarah tanah air kita,13 Mei 1969 adalah sejarah hitam. Hari pergaduhan bani Melayu yang tidak puas hati dengan bani Cina. Ini berlaku tiga hari sesudah PRU3 yang dijalankan pada 10 Mei 1969.

Apakah Najib mahu mengulangi perkara yang sama seperti yang telah dilakukan oleh Tun Razak Hussein ayah Najib sendiri.

Perkara ini terlintas dalam kepala saya. Malah perkara ini masuk ke dalam banyak kepala anak semua bangsa di Malaysia apabila PRU dijalankan.

‘Auntie Maggie Mee’

Saya juga telah diberitahu oleh sosok rujukan BERSIH – Dr Lim Chin Huat tentang – ‘Auntie Maggi Mee’. Ramai tidak sedar tentang apakah dia ‘Auntie Maggi Mee’.

Menurut Chin Huat, ini sebenarnya adalah kempen saraf yang dijalankan secara tersusun sebuah parti cukong dalam BN.

Secara senyap-senyap mak cik, ah soo dan auntie telah digalakkan untuk membeli dan menyimpan mee segera Maggi mee.

Ini sebagai persediaan menyimpan makanan jika berlaku darurat sesudah PRU. Seperti yang berlalu pada tahun 1969 dahulu. Atau jika berlaku kacau-bilau dan ada arahan berkurung. Maka Maggi mee menjadi penyelamat.

Sebenarnya perang saraf parti cukong ini telah dilakukan pada setiap PRU dengan efektif. Bani Melayu tidak menyedari hal ini. Semuanya berjalan dengan senyap.

Hantu 13 Mei

Jelas MCA juga telah menggunakan hantu 13 Mei sebagai alat perang saraf. Mak cik, ah soo dan auntie akan merasa takut dengan kacau bilau dan porak peranda.

Suasana ini akan digunakan untuk mendorong mereka mengundi kuasa yang sedia ada iaitu BN.

Justeru, beberapa hari sebelum mengundi kita terdengar Najib bersuara mengingatkan tentang kestabilan. Kestabilan lawannya kacau-bilau.

Suara Najib yang meminta kestabilan ini bertujuan untuk membantu perang saraf auntie Maggi mee yang dipasang.

Sila ambil perhatian, lima hari sesudah mengundi bulan puasa sampai. Jika ada demo bantahan – kerana penipuan – hanya akan akan berlaku dalam masa lima hari sebelum puasa sampai.

Bila puasa bermula bantahan ke jalan raya akan gagal. Semua ini telah dirancang dengan jahat.

Akhirnya perbincangan petang itu kembali kepada agenda lama – di mana hendak berkumpul ketika undi sedang dikira.

“Orang ramai boleh berhimpun di padang Amcorp Mall. Ni tak jauh dari pejabat BERSATU,” Mat Sabu bersuara memberi cadangan. Pandangan Mat Sabu ini telah lama dilambung-lambung.

“Di Amcorp Mall kita boleh buat bilik gerakan, pasti ada bilik untuk disewa,” tambah Mat Sabu.

Kali ini Mahathir tidak lagi mencadangkan Putrajaya. Kelihatan Mahathir bersetuju. Saya mengambil ini sebagai keputusan akhir tempat penyokong Pakatan Harapan akan berhimpun pada malam mengira undi.

“Tun kena beritahu Azmin kerana semua ini memerlukan bajet,” saya membuat cadangan kerana war room kami tidak memiliki dana. Mahathir seperti biasa hanya mendengar.

Semua tuntas. Pada malam mengira undi orang ramai akan dijemput untuk berhimpun di padang Amcorp Mall. Untuk saya padang Amcorp Mall pilihan strategik.

Ini kawasan terbuka. Jika apparatchik Najib datang menyerang kami boleh melarikan diri ke setiap arah. Kami telah mengenal wilayah ini berbanding dengan wilayah Putrajaya yang pada awalnya dicadangkan oleh Mahathir.

Kawasan terbuka ini membantu. Kami yang berhimpun boleh dilihat dari semua sudut. Padang Amcorp Mall ini juga dikelilingi oleh kawasan perumahan kelas menengah Petaling Jaya. Ini empangan penyokong tegar Pakatan Harapan.

Tidak jauh dari padang ialah ibu pejabat BERSATU. Jelas kami di wilayah selamat.

Kami minta diri setelah lebih dari satu jam berbincang. Mahathir pula ingin menyiapkan tulisan dan bersedia untuk berceramah di Gombak.

Saya terus menyelinap ke Cheras berkempen untuk saudara Fung Kui Lun.

Pada 8 Mei 2018, sehari sebelum mengundi keadaan kelihatan tenteram. Semua yang wajib disusun telah disusun. Najib dan konco-konconya kelihatan dalam keadaan bertahan.

Najib terus diserang satu demi satu. Poster muka Mahathir yang dipotong menjadi heboh. Dunia siber tak henti-henti memainkan isu ini.

Dalam masa yang sama MCA dengan niat untuk memenangi undi Cina telah memaparkan gambar pemimpin MCA bersalaman dengan pemimpin China Merah. Gambar billboard ini menjadi tular.

Imej ini menaikkan kemarahan Bani Melayu yang semakin yakin bahawa Najib akan menggadaikan Tanah Melayu kepada China Merah.

Lalu timbul pesoalan hakiki – kalau muka Mahathir tidak dibenarkan muncul dalam poster kempen mengapa muka Xi Jinping dari China Merah dibenarkan pula?

Bani Melayu makin naik darah. Amin.

Hari-hari akhir sebelum mengundi populariti Mahathir terus mengatasi Najib – daripada segi sokongan dan pengikut.

Seminggu sebelum hari mengundi Facebook Mahathir mendapat 1.22 juta interaksi. Najib hanya mendapat 651.672 interaksi. Jauh ketinggalan. Malah Kelab Che Det mendapat 651,504 hampir mengatasi Najib.

Pada hari Selasa, Mahathir pulang ke Langkawi. Kali ini jet peribadinya telah tidak lagi menjadi isu.

Pada malam Selasa, sehari sebelum mengundi Mahathir membuat ‘Facebook live’. Manakala Najib muncul di TV3. Satu Malaysia sedang membuat pilihan.

Pada malam yang sama ketika saya sedang menikmati tose di Bangsar Utama tetiba saya mendapat panggilan telefon. Panggilan daripada kenalan lama dari New York.

Selain bertanya khabar, saya nyatakan kepada kawan lama saya ini satu kesilapan Jabatan Keadilan America (DOJ): “Kalau dulu, DOJ tidak mengunakan MO1 dalam dokumennya, Najib telah lama bungkus. Kalau DOJ menyebut nama Najib dalam dokumen itu kerja kami dah lama selesai.”

Kami sesama terbarai ketawa.

Di New York entah pukul berapa. Kawan saya itu hendak tahu siapa akan menang.

Jawapan saya cukup jelas. Pakatan Harapan akan menang PRU14 kecuali ditipu. Dalam Bahasa Inggeris – HARAPAN have won.

Tetiba saya mendapat satu lagi pangggilan telefon. Kali ini panggilan tempatan.

Daripada hujung talian ada suara memberitahu bahawa war room di Amcorp Mall dibatal. Kita beralih ke sebuah hotel di tidak jauh dari situ.

Wow. Kenapa ini berlaku? Tunggu minggu hadapan.

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem. Artikel pertama kali disiarkan di Malaysiakini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini atau Malaysian Update.

No comments

Loading...