Header Ads

'Ini Bukan Pasukan Umno Yang Komited Agenda Perubahan'


ALOR SETAR: Pemuda Umno Kedah mendakwa pimpinan tertinggi parti itu, sekali lagi gagal menggunakan peluang yang ada untuk menampilkan pasukan yang mempunyai karisma, wibawa dan kemampuan untuk memenangi hati rakyat.

Ketuanya, Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, nampak jelas barisan lantikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) hari ini menggunakan model dan strategi politik lama.

Katanya, barisan yang dilantik itu dalam kalangan mereka yang terbukti gagal membantu parti dalam PRU14.

Loading...


“Ini bukanlah ‘pasukan Umno’ yang komited dengan agenda perubahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk lantikan Ahli Majlis Tertinggi Umno oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Antara yang membarisi jawatan berkenaan adalah bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Mengulas lanjut, Shaiful berkata, strategi melantik bekas peguam negara ke dalam MT juga kelihatan cukup terdesak dan bersifat tangkap muat.

“Rakyat tahu peranan beliau dalam skandal terdahulu,” katanya.

Jelasnya, melantik individu tersebut bukan sahaja satu kesilapan politik, malah menzahirkan kelemahan ketara parti melahirkan bakat dalaman untuk bersaing dengan kerajaan.

“Ini tindakan yang mengecewakan di sebalik kata-kata manis mahu mewujudkan politik berasaskan wadah kekitaan dan semangat keterangkuman.

”Maaf cakap, ini bukan pasukan yang mampu mencipta resipi kemenangan sebaliknya, ini barisan yang sebenarnya mengheret Umno ke aras penerimaan rakyat yang lebih rendah,” katanya.

-Sinar Harian

No comments