Header Ads

Hong Kong Tolak Serah Jho Low Dua Tahun Lepas – Polis Singapura


SINGAPURA, 11 Julai — Hong Kong menolak permintaan Singapura untuk membantu menangkap ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho, yang didakwa sebagai orang utama terlibat dalam  skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada April 2016.

Singapura sedar tentang laporan berita bahawa tiada permintaan dibuat oleh Singapura, kepada Hong Kong, bagi menangkap dan mengekstradisi Low.

“Laporan ini tidak benar,” kata Polis Singapura dalam satu kenyataan hari ini.

Loading...


 “Kami mengeluarkan waran tangkap ke atas Low pada April 2016, berikutan siasatan dan tuduhan terhadap beliau kerana kesalahan pengubahan wang haram dan secara tidak jujur menerima harta curi.

“Pada bulan yang sama, bertindak atas maklumat yang diterima, kami menghantar permintaan kepada Jabatan Kehakiman Hong Kong untuk permintaan bagi penangkapan bersyarat Low di bawah  Perjanjian antara Kerajaan Republik Singapura dengan Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong Republik Rakyat China bagi penyerahan Pesalah Fugitif.

“Permintaan Singapura itu ditolak oleh pihak berkuasa Hong Kong,” katanya.

Pada Oktober 2016, Polis Singapura berkata ia juga memohon penerbitan satu Notis Merah Interpol terhadap Low.

Notis sedemikian merupakan permintaan oleh sesebuah negara anggota bagi mengesan dan menangkap secara bersyarat seseorang berasaskan waran tangkap nasional yang sah.

 Hingga kini, kedua-dua waran tangkap dan Notis Merah Interpol terhadap Low masih berkuatkuasa.

 “Low kekal sebagai orang kepentingan utama kepada Singapura dalam siasatan berkaitan 1MDB yang sedang berjalan,” katanya.

Adalah dilaporkan bahawa Low dan keluarganya dibenarkan menyelinap keluar dari Hong Kong ke Macau oleh kerana tiada permintaan formal oleh Malaysia atau Singapura bagi penangkapannya. — Bernama

No comments

Loading...