Header Ads

Guru Pandu Grab Dibogel, Jadi Mangsa Samun Penumpang Sendiri


GEORGE TOWN, 19 Julai ― Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pemandu Grab yang disamun dan dijadikan tawanan selama lebih 12 jam oleh seorang kaki judi yang menyamar sebagai penumpang dalam kejadian di Jalan Perak, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata dua lelaki berusia 30-an itu ditahan pada Selasa dan semalam dan pihaknya sedang mengesan seorang lagi rakan mereka yang turut terlibat dalam kejadian pada 2.30 pagi Isnin tersebut.

“Dua lelaki itu ditahan di sekitar George Town dan kami masih mengesan seorang lagi lelaki dipercayai rakan mereka yang turut terlibat dalam kejadian samun serta menjadikan pemandu Grab yang juga seorang guru sebagai tebusan,” katanya di sini hari ini.


Loading...

Katanya seorang daripada lelaki yang ditahan itu bekerja sebagai jururunding dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah selain turut positif syabu.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 34 tahun berkenaan mendapat panggilan menerusi aplikasi Grab daripada seorang wanita, namun sebaik tiba di lokasi mangsa mendapati seorang lelaki meminta untuk dihantar ke Plaza Gurney sebelum meminta berhenti di rumah ibunya di Taman Seri Perak dan kemudiannya dua lagi rakan lelaki tersebut turut menaiki kereta mangsa.

Seorang daripada rakan suspek itu mendakwa dia anggota polis dan bertindak menolak mangsa keluar dari kereta serta merampas kuncinya sebelum mereka menyelongkar kenderaan guru berkenaan dan mengambil telefon bimbit serta wang tunai mangsa malah lebih memalukan dia turut dibogelkan dan dirakam gambarnya.

Mangsa turut dibawa ke sebuah pusat perjudian di Jalan Anson di sini dan akaun banknya digunakan oleh suspek untuk transaksi perjudian selain dibawa ke sebuah kedai pajak gadai dan dipaksa menjual telefon bimbitnya jenis Iphone 6s sebelum pemandu Grab tersebut dibebaskan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menahan dua lelaki yang merupakan pengedar dadah dalam dua serbuan di Kepala Batas di sini semalam dan merampas syabu serta heroin bernilai RM2,000.

“Dua lelaki berusia 29 dan 37 tahun itu ditahan pada 6 petang dan 10 malam berdasarkan intipan serta  risikan yang dijalankan polis sejak dua minggu lepas.

““Mereka dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada sindiket pengedaran sebelum membungkusnya semula dan menjual kepada pembeli di sekitar SPU,” katanya.

Katanya dua lelaki yang tidak bekerja itu positif dadah dan mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan. ― Bernama

No comments