Header Ads

Duta Perancis: Siasatan Scorpene Lancar


KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang kontroversial berjalan lancar dengan kedua-dua pihak berkuasa dalam bidang kehakiman Malaysia dan Perancis mengendalikan kes itu, kata Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frédéric Laplanche.

Bercakap berhubung isu itu baru-baru ini, yang menjadi lebih utama dalam kalangan rakyat Malaysia sejak 2 bulan kebelakangan susulan pilihan raya umum lepas, Laplanche berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak lancar, lapor Free Malaysia Today.

Loading...


“Kerjasama antara pihak berkuasa kehakiman di Perancis dan Malaysia amat baik. Mereka telah berhubung dengan Peguam Negara Malaysia yang baru mengenai semua isu berkaitan persoalan pada masa lampau dan saya dapat merasakan kesediaan yang kuat untuk menjalin kerjasama di kedua-dua pihak.

“Isu ini sedang ditangani dan dikendali oleh pihak yang kompeten,” katanya dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini, yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Perancis pada 14 Julai.
Bagaimanapun, Laplanche berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut isu itu kerana ia berada di bawah bidang kehakiman Perancis, yang merupakan badan bebas di negara tersebut.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, dilaporkan berkata bulan lepas bahawa penubuhan sebuah pasukan petugas akan dibincang dalam Kabinet bagi menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pembelian 2 kapal selam Perancis pada 2002 ketika bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Pertahanan.



Pada 2002, Najib menyelia pembelian 2 kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, bernilai hampir €1 bilion (US$1.17 bilion).

Pada Mei, sebaik sahaja kerajaan baru dibentuk, Mohamad Sabu berkata beliau perlu mendapatkan gambaran penuh berkaitan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum meneliti butiran isu dan skandal dalam ATM, termasuk pembelian kapal selam Scorpene itu.

No comments

Loading...