Dr Wan Azizah Sedia Undur Diri Jika Anwar Jadi PM
ALOR SETAR, 30 Jun — Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau bersedia mengundur diri
daripada jawatan nombor dua kerajaan jika suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim
menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata perkara itu bukanlah isu besar kerana situasi
di mana jawatan timbalan perdana menteri dan perdana menteri disandang oleh
suami isteri tidak pernah berlaku di negara ini.
“Itu (situasi di mana jawatan timbalan perdana menteri dan
perdana menteri disandang suami isteri) tidaklah…saya kira saya akan undur
dirilah, tak payah jadi isu kerana itu adalah memang satu niat saya daripada
mula-mula lagi.
Loading...
“Kenapa suami saya tidak boleh bertanding…kerana suami saya
telah dizalimi, sekarang telah diampuni dan sekarang dia boleh ambil bahagian.
Namun, kita ikut janji bahawa perdana menteri sekarang adalah Tun Dr Mahathir
Mohamad dan saya timbalan perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas
melawat Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit di sini
hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang
dipetik portal berita sebagai berkata bahawa beliau akan melepaskan jawatan
sejurus Anwar diangkat menjadi perdana menteri namun siapa yang bakal mengisi
jawatan timbalan perdana menteri belum diputuskan.
Ketika ditanya apakah proses peralihan kuasa itu akan
dipercepatkan, Dr Wan Azizah berkata apa yang paling penting buat masa ini
adalah melaksanakan mandat yang diberi rakyat kepada kerajaan baharu.
Kita kena beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata
beliau.
Mengulas mengenai projek RTB itu, Dr Wan Azizah berkata ia
kini di tahap 70 peratus dan akan mengambil masa 18 bulan untuk siap
sepenuhnya.
“Kita telah diberi taklimat dan mendapati sejak 2010,
seramai 46,000 mangsa banjir dipindahkan. Banyak masalah lain seperti kerosakan
bendang, harta benda malah kehilangan nyawa yang berlaku. Sebab itu, kita ingin
percepatkan RTB yang dijangka siap pada 2020.
“Kita juga telah diberitahu projek ini boleh siap dalam
tempoh 18 bulan jadi, kerajaan pusat akan beri kerjasama untuk menjayakan
projek RTB dan bajet tambahan berjumlah RM62 juta juga diluluskan tahun lepas
untuk kegunaan projek tersebut,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata bajet tambahan itu akan digunakan
untuk membina jalan lencongan bagi jambatan dari Jalan Alor Setar-Kangar dan
jambatan Jalan Alor Setar-Gunung Keriang, yang mampu menyelesaikan masalah
banjir itu.
— BERNAMA
Post a Comment