Header Ads

Digelar Pedofilia, Pakar Gua Britain Pertimbang Saman Elon Musk


NEW YORK -- Seorang pakar gua Britain yang membantu usaha menyelamat 12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak mereka di Thailand yang terperangkap di gua Tham Luang, sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Elon Musk selepas jutawan Amerika Syarikat itu menggelarnya sebagai seorang "pedofilia," lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan badan penyiaran Amerika Syarikat CNN.

"Saya percaya beliau menggelarkan saya sebagai seorang pedofilia. Baiklah, (jika ia) berdasarkan definisi menyelamatkan 12 remaja lelaki... ia meletakkan semua orang dalam konteks yang sama," kata Vern Unsworth, seorang pakar gua yang berpangkalan di Thailand pada Isnin.


Loading...

Musk adalah Ketua Pegawai Eksekutif beberpa syarikat teknologi Amerika Syarikat, termasuk SpaceX dan Tesla.

Ciapannya berhubung perkara itu, yang kini telah dipadamkan, telah dihantar kepada pengikut beliau berjumlah 22 juta orang.

Ciapan itu dibuat selepas Unsworth menyifatkan kapal selam mini Musk, yang sepatutnya digunakan dalam operasi menyelamat namun gagal membantu, sebagai "aksi PR."

Musk tidak memberikan sebarang bukti berhubung dakwaannya dan hanya mendiamkan diri selepas dituduh telah berlaku tidak adil kepada Unsworth oleh pengguna Twitter.

Beliau turut menyatakan dalam satu lagi ciapan yang kini sudah dipadam: "Bet ya, a signed dollar it's true."

Semasa usaha menyelamat, Unsworth menyediakan pengetahuan berhubung sistem gua Tham Luang di mana 12 pemain bola sepak remaja dan jurulatih mereka terperangkap selama 18 hari sebelum mereka diselamatkan pada awal minggu lepas.

-- BERNAMA

No comments