Header Ads

BN minta Kerajaan Pakatan teruskan projek di Kelantan


KOTA BHARU - BN Kelantan mengharapkan semua projek-projek yang diluluskan Kerajaan Persekutuan sebelum ini dapat diteruskan demi memberi keselesaan kepada rakyat negeri ini.

Kenyataan itu disuarakan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN - Ayer Lanas) yang mahukan semua pihak sama ada kerajaan negeri atau pembangkang bekerjasama bagi memastikan projek-projek tersebut dapat diteruskan.

Loading...

"Perkara ini juga menjadi perhatian Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika mana bertemu dengan Perdana Menteri (Tun Mahathir Mohamed) baru-baru ini. Semua sedia maklum, kita nak perbesarkan Lapangan Terbang (Sultan Ismail Petra) yang sudah sesak, bukan sahaja penerbangan banyak tetapi parkir juga tidak cukup yang mengundang kesesakan lalu lintas.

"Sepatutnya projek ini sudah dimulakan bulan ini tetapi sekarang tidak nampak apa lagi, kita harap kita sebagai pembangkang dapat berusaha dan berdoa supaya ia dilaksanakan demi keselesaan rakyat kita," katanya.

Beliau berkata demikian  semasa  sesi perbahasan menyokong Titah Ucapan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faiz Petra di persidangan Dun, hari ini.

Dalam pada itu Mustapa berkata, reformasi politik pasca PRU yang lalu juga mengubah dimensi politik semasa termasuk hubungan antara parti.

"Pada 16 Julai lalu, kita (pembangkang) telah mengadakan mesyuarat 'pre council'  di mana BN diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pas diwakili Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

"Ini perubahan dalam landskap politik baharu, kita akan terus berkerjasama termasuk di Kelantan di mana kita pernah bersama dalam menyelesaikan masalah banjir dan bantuan pembinaan rumah.

Sementara itu, Mustapa meminta kerajaan negeri dan pejabat daerah membuat persediaan termasuk menambah kepakaran untuk melaksanakan pelbagai projek.


Beliau berkata, di bawah kerajaan Pakatan Harapan, peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)  dijangka dikecilkan sekaligus memberi tugas yang besar kepada pejabat daerah.

"Saya sarankan semua pihak membuat persediaan, dulu di JPP kita mempunyai kepakaran dalam pelbagai peringkat termasuk jurutera dan sebagainya, kita harap dengan persiapan awal akan membantu memudahkan mereka sekiranya projek disalurkan nanti," katanya.

Sementara itu, Datuk Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) turut meminta semua pihak di Dun Kelantan membuka lembaran baharu dengan bekerjasama bagi membantu rakyat Kelantan.

"Ini semangat baharu, kita perlu bekerjasama, sudah lama kita bergaduh," katanya yang meminta Dun Kelantan memberikan kemudahan kepada ketua pembangkang termasuk menyediakan bilik khas sepertimana sistem di Parlimen.

No comments


Loading...