Header Ads

Bersatu Mampu Ganti Umno


SHAH ALAM - Bersatu boleh menjadi wadah baru buat bekas ahli Umno yang masih mahu mengangkat dasar dan perjuangan utama parti tersebut yang kini dilihat seakan tergelincir dari landasannya.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, Bersatu tidak dapat lari dari hakikat mengaitkan mereka dengan Umno kerana asas perjuangan mereka mirip kepada parti berusia 74 tahun itu.

Menurutnya, Bersatu mungkin akan menjadi alternatif kepada Umno namun ia menjurus kepada perjuangan asal parti itu, bukan seperti yang berlaku sekarang.

Loading...


“Kita tak dapat lari dari katakan Bersatu pengganti kepada Umno namun yang lebih penting adalah Umno 2.0 ini, Bersatu ini, ia akan lebih berpandukan tujuan asal perjuangan Umno.

“Bagi saya, ia adalah satu perkara sangat menarik kerana Umno pada masa kini bukan lagi Umno pada perjuangan asal mereka. Ini akan jadikan Bersatu sebagai wadah perjuangan baru buat bekas ahli Umno.

“Saya fikir keahlian Bersatu untuk bekas ahli Umno akan dibuka. Dalam waktu terdekat mungkin tidak tapi pada masa depan mungkin ia akan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan Bersatu bakal menjadi pelindung baharu kaum Melayu bagi menggantikan Umno yang semakin rosak ketika ini.

Katanya, kenyataan Tun Dr Mahathir berhubung isu berkenaan tepat pada masanya kerana ia secara tidak langsung menjelaskan kepada rakyat falsafah serta dasar perjuangan parti itu.

“Perkara itu tidak akan memberi kesan kepada Pakatan Harapan malah perjuangan Bersatu juga lebih jelas bila Tun Dr Mahathir kata sebegitu terutamanya untuk menarik sokongan penyokong yang dulu bersama Umno tapi kini tidak lagi bersama mereka.

“Malah, secara tidak langsung Bersatu akan menjadi parti yang lebih inklusif,” ujarnya.

- Sinar Harian

No comments