Header Ads

Akaun Beku: Umno Rayu SPRM Demi Bayar Gaji


BAGAN DATUK, 30 Jun — Umno telah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar sebahagian daripada akaun parti yang dibekukan dapat diguna untuk tujuan pentadbiran dan pembayaran gaji.

Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata permohonan itu telah dikemukakan kepada SPRM semalam oleh Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama barisan peguam yang dilantik.

Menurutnya tindakan berkenaan harus dilakukan bagi membolehkan perbelanjaan yang telah ditentukan dapat dibayar setiap bulan.

“Kita harap SPRM memberikan pertimbangan sewajarnya kerana tentunya kita mahu supaya gaji, sewaan dan kos-kos pentadbiran lain dapat terus diberikan pertimbangan kerana ia bukan digunakan untuk lain-lain tujuan,” kata Anggota Parlimen Bagan Datuk itu kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk di sini, hari ini.

Loading...


Semalam  laporan media menyebut SPRM  didakwa sudah membekukan 900 akaun bank yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk akaun milik Umno.

Sementara itu, di Alor Star, perkara yang sama diluahkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah supaya SPRM membenarkan pengeluaran sebahagian wang daripada akaun Umno negeri untuk tujuan pembayaran  gaji.

Menurutnya,  tindakan membekukan akaun Umno pusat dan negeri Kedah yang turut melibatkan akaun di 15 peringkat bahagian negeri menyebabkan parti itu tidak mempunyai sumber kewangan bagi tujuan perbelanjaan.

“Kalau beku, mana kita nak ambil duit untuk bayar gaji bulanan pekerja yang bekerja dengan pejabat Umno dan bila tiada duit kita terpaksa buang pekerja. Jadi, kita minta supaya SPRM benarkan Umno untuk keluarkan sebahagian wang yang ada dalam akaun,” katanya.

Pengerusi  Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata Umno perlu mencari jalan penyelesaian terutama melibatkan aspek kewangan selepas akaun parti dibekukan.

Bekas menteri besar Perak itu berkata ini kerana, pembekuan akaun tersebut dilihat mampu merencatkan pergerakan parti termasuk untuk mengadakan mesyuarat yang memerlukan wang.

”Saya harap usaha untuk kita gerakkan semula ataupun untuk dapatkan semula perbelanjaan perlu kerana segala-galanya kita letakkan dalam akaun tersebut. 

Saya lihat anggota Umno begitu tabah dan bagi saya biarlah proses itu berjalan kerana itu adalah keputusan yang dibuat pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan Umno Bahagian Lumut di sini, hari ini.

Di Kuala Nerus, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama dengan SPRM bagi menyiasat akaun pertubuhan itu.

Menurutnya, sepanjang beliau menerajui Umno Terengganu sumber kewangan yang diperoleh adalah daripada Umno Pusat.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga hari ini belum dihubungi oleh SPRM atau mana-mana bank yang memaklumkan berlaku pembekuan akaun Umno negeri.

Di Melaka, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Idris Harun juga menyatakan pihaknya bersedia untuk memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika ada siasatan berhubung akaun bank Umno Negeri itu.

Menurutnya, pihaknya tidak menerima sebarang notis ataupun arahan siasatan, tetapi sebagai persediaan pihaknya telah melantik enam peguam bertauliah sebagai pemegang amanah kepada sebahagian harta mudah alih dan tetap Umno melaka bagi menghadapi sebarang kemungkinan dirampas atau dibekukan. — Bernama

No comments

Loading...