Header Ads

ADUN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei Meninggal Dunia Kerana Kanser Limfoma


SHAH ALAM -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pukul 11.10 pagi ini akibat kanser limfoma.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, sejurus selepas selesai urusan di hospital.

"Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini dijangka selepas solat Asar," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Shuhaimi yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang dengan majoriti 12,480 undi, mewakili PKR dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.


Loading...

Shuhaimi, 50, bagaimanapun tidak hadir ke majlis mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini, pada 26 Jun lepas, atas faktor kesihatan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata Mat Shuhaimi yang merupakan  ADUN Sri Muda (kini Sungai Kandis) dari PKR selama dua penggal adalah seorang yang sangat komited, bertanggungjawab dan disenangi rakyat serta rakan taulan.

Beliau berkata Allahyarham juga merupakan sahabat karibnya serta rakan seperjuangan dalam politik dan pemergian Mat Shuhaimi merupakan satu kehilangan besar kepada Kerajaan Selangor serta PKR.

"Khidmat bakti dan pengorbanan Allahyarham kepada rakyat dan negeri Selangor adalah sangat besar serta tidak ternilai. Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budi Allahyarham.

"Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian ini dan saya doakan semoga anggota keluarga Allahyarham diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang amat berat ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah SWT serta dikurniakan husnul khatimah," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter milik beliau turut menyatakan kesedihan kerana kehilangan seorang teman sejati dalam perjuangan. - BERNAMA

No comments

Loading...