Header Ads

Wan Azizah sedia undur diri jika Anwar jadi PM

Wan Azizah (tengah) bersama Mukhriz (kiri) meninjau projek RTB Sungai Kedah/Anak Bukit. - Foto MOHAMAD FIRDAUS

ALOR SETAR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan akan melepaskan jawatan itu sejurus Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, ia bukanlah isu yang harus diperbesarkan kerana itu adalah niatnya sejak awal.

Loading...

Menurutnya, proses peralihan kepimpinan itu juga tidak perlu dipercepatkan kerana kerajaan baharu perlu memberi tumpuan memenuhi kehendak rakyat selepas diberikan mandat pada PRU14.

“Memang itu niat saya, tidak ada situasi di mana Perdana Menteri dan Timbalannya adalah suami isteri. Saya akan undur diri apabila masanya tiba,” katanya, pada sidang media, selepas meninjau projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Wan Azizah berkata, buat masa ini pimpinan Pakatan Harapan akan berpegang pada janji yang dibuat sebelum ini.

“Janji awal kita adalah Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, saya timbalannya. Sebelum ini suami saya (Anwar) tidak dapat bertanding PRU kerana dizalimi, sekarang sudah diampuni dan boleh ambil bahagian dalam kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Azizah menolak kemungkinan proses peralihan kuasa itu akan dipercepatkan.

“Tiada kemungkinan ke arah itu. Kita mahu berikan khidmat kepada rakyat dahulu, penuhi mandat yang diberi rakyat kepada kita selaku kerajaan baharu, peduli nasib rakyat, itu lebih penting,” katanya.


Wan Azizah berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditemu bual Assosicate Press (AP), yang mengatakan beliau akan melepaskan jawatan sejurus Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri.

Guan Eng turut maklumkan bakal Timbalan Perdana Menteri baharu belum diputuskan.

No comments

Loading...