Header Ads

Loading...

Tun Mahathir syukur dengan demokrasi negara


KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak rakyat Malaysia meraikan 1 Syawal sebagai hari kemenangan melawan nafsu, tidak hanya terhad kepada menahan lapar dan dahaga, malah melawan nafsu dengan menolak apa jua perkara bertentangan dengan ajaran Islam.

Loading...

Dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2018, malam ini, Perdana Menteri berkata, ada kalanya nafsu menghumban kita ke dalam perkara yang dilarang sekali gus mencemarkan imej sebagai seorang Muslim tetapi Alhamdulillah, Islam itu sempurna.

“Jika diamati dengan teliti, ia tetap menjadikan kita manusia yang baik dan berjaya. Islam bukan sahaja agama, ia adalah 'Ad-deen' atau cara hidup," katanya.

Dr Mahathir juga berjanji, kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh mengembalikan negara ke landasan yang betul.

"Untuk mencapai matlamat ini, langkah penjimatan perlu diambil dan orang ramai hendaklah terima keperluan berjimat bersama kerajaan," katanya.

Menurutnya, jika negara aman dan selamat, pelabur akan melabur dengan banyak dan peluang pekerjaan akan bertambah, serta dapat menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau mahukan rakyat Malaysia sentiasa bersyukur serta mengambil iktibar dengan apa yang berlaku kepada saudara Islam di negara luar apabila demokrasi yang diharap tidak mencapai tujuannya.

Tegasnya, rakyat Malaysia masih dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri dengan penuh selesa dan selamat tanpa perlu risau dan berasa terancam dengan serangan musuh.


"Marilah kita renungkan cabaran dan dugaan yang kita hadapi sekarang dan bagaimana kita dapat mengatasinya. Insya-ALLAH dengan berkat usaha dan sikap tidak akan menyerah kalah, usaha ini akan diberkati ALLAH dan kita pasti akan berjaya melepasi segala rintangan.

"Percayalah, apa dihadapi oleh kita sekarang, tidak seberat apa yang dihadapi rakan kita di beberapa negara lain terutamanya di Timur Tengah," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengingatkan mereka yang pulang beraya di kampung halaman agar sentiasa memandu dengan cermat serta mengajak masyarakat bukan Islam untuk turut serta dalam sambutan Hari Raya bagi memupuk semangat perpaduan antara kaum di negara ini.

-my metro

No comments

Loading...