Header Ads

Tun M sedia letak jawatan jika...


PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sedia meletak jawatan jika wujud pergolakan yang sukar ditangani di antara dirinya dengan kepimpinan Pakatan Harapan.

Loading...

Dalam satu wawancara bersama Channel News Asia (CNA), Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan berlakunya pergolakan di antara beliau dan  Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mungkin ada banyak percanggahan antara saya dan ramai orang, tetapi saya sentiasa dapat bertahan dan bekerja dengan orang yang menentang saya," kata Dr Mahathir.

"Saya berada di sana selama 22 tahun, ada ramai orang menentang saya tetapi saya berjaya, jadi jika saya tidak dapat mengurus situasi itu, saya akan letak jawatan," katanya.

Anwar dibebaskan daripada penjara beberapa hari selepas Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan dikatakan akan mengambil alih apabila perdana menteri memberi tempoh dua tahun untuk berkhidmat.

Bagaimanapun, ramai yang ragu-ragu terhadap hubungan antara Dr Mahathir dan Anwar, seorang individu  yang pernah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Sejak pembebasannya, Anwar telah mengeluarkan kenyataan tentang dasar kerajaan bahkan dilihat telah membincangkan hubungan dua hala bersama pegawai kerajaan di London walaupun tidak mempunyai kedudukan rasmi dalam kerajaan.

"(Anwar) seperti orang lain, dia boleh memberi komen - apa sahaja komen. Dia bukan dalam kerajaan," kata Dr Mahathir kepada CNA.


"Tetapi secara amnya, apabila kita bersetuju dengan sesuatu perkara dalam Kabinet, kita tetap berpegang kepada keputusan itu, tetapi yang tidak berada dalam Kabinet boleh buat komen sendiri, mereka boleh katakan apa yang mereka suka, tetapi kita adalah kerajaan," katanya.

No comments

Loading...