Header Ads

Tun M ke Indonesia esok


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Indonesia bermula esok.

Ia lawatan rasmi Dr Mahathir yang pertama ke negara Asia Tenggara selepas menyandang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua, 10 Mei lalu.

Loading...

Wisma Putra dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, Perdana Menteri akan diiringi oleh isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta pegawai dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Dalam rangka lawatan ini, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Joko Widodo atau Jokowi di Istana Bogor pada pagi Jumaat.

“Ini disusuli dengan Majlis Makan Tengah Hari yang dihoskan oleh Presiden bagi meraikan Dr Mahathir dan delegasi Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang dijadual tiba di Jakarta, 6 petang esok juga akan mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Malaysia di Jakarta pada sebelah malam.

Lawatan ini akan membuka peluang untuk kedua-dua pemimpin memperkasakan hubungan dua hala dan kerjasama yang sedia ada di antara Malaysia dan Indonesia.


Lawatan ini juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar terkini kerajaan dan pendirian negara, khususnya berkaitan isu yang mempunyai manfaat bersama.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama terhadap Malaysia dan Indonesia.

Indonesia adalah satu daripada negara jiran yang paling rapat dan terpenting untuk Malaysia.

Pada 2017, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM72.63 bilion (AS$16.89 juta), menyaksikan pertumbuhan 22 peratus berbanding 2016.

Ini sekali gus menjadikan Indonesia sebagai rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar di kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

No comments

Loading...