Header Ads

Tindakan Parti Komponen Tinggalkan Umno Serius - Ku Li


Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat tindakan keluar parti oleh Gerakan dan Ahli Parlimen Bagan Serai tidak sepatutnya berlaku dan merupakan perkara serius yang harus diberikan perhatian.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, BN tidak boleh membiarkan perlakuan keluar parti berterusan sebaliknya perlu segera dibincangkan bagi mengenalpasti punca mereka mahu meninggalkan Umno dan BN.

“Tidak patut berlaku (keluar parti). Sepatutnya diadakan mesyuarat bersama-sama pemimpin parti komponen dan bercakap tentang masa depan BN selepas kita kalah dalam PRU14, tapi tiba-tiba kita dengar parti itu, parti ini tarik diri daripada BN. Adakah itu patut?.

Loading...


“Memang dia ada hak menarik diri tapi sekurang-kurangnya ada perbincangan dan (hari ini) kita dengar pula seorang wakil rakyat Umno sendiri keluar parti. Ini perkara serius, tak kan kita mahu biarkan benda ini berterusan,” katanya.

Beliau yang merupakan calon Presiden Umno berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama perwakilan Umno semua peringkat Terengganu di Hotel Primula, di sini petang tadi.

Tengku Razaleigh yang mesra disapa Ku Li berkata, Umno dan BN tidak boleh hanya berpeluk tubuh melihat penghijrahan keluar rakan komponen dan wakil rakyat mereka sebaliknya segera melakukan pencegahan agar parti kekal utuh.

“Kita mesti bincang dan tengok masalah mereka sebab ini wakil rakyat yang mewakili kita, bawa suara Umno dan BN. Tak kan kita nak berpeluk tubuh mengambil sikap kalau rasa nak keluar parti, keluar sedangkan dia bertanding atas symbol kita, perjuangan kita.

“Kita tidak boleh pandang ringan perkara ini,” katanya.

Parti Gerakan kelmarin mengumumkan keluar BN untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif.

Gerakan dalam satu kenyataan berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan (CGC).

Selepas Parti Gerakan, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pula mengumumkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas menyokong Kerajaan Harapan selepas kecewa dengan penolakan Umno Bahagian Bagan Serai, semalam.

Keputusan mengejut itu dibuat Noor Azmi menerusi satu sidang media khas di pejabat Pusat Khidmatnya di sini pada jam 10 pagi semalam dan turut dihadiri puluhan penyokong serta pemimpin Bersatu bahagian Bagan Serai.

No comments

Loading...