Header Ads

Tiada Lagi Khidmat AG Untuk SPR


PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara tidak akan mewakili mana-mana parti dalam mana-mana Petisyen Pilihan Raya, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah melantik dan memilih anggota Badan Peguam Malaysia untuk mewakilinya dalam prosiding undang-undang itu, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa pengerusi SPR mestilah mendapat keyakinan awam seperti mana SPR sendiri sebagai pemutus berkecuali  dalam perjalanan pilihan raya.

Loading...


“Sebagai pemutus berkecuali dalam menjalankan pilihan raya, SPR tidak sepatutnya diwakili oleh anggota Jabatan ini kerana ada kemungkinan berlakunya percanggahan kepentingan dan persepsi bahawa keadilan hendaklah dilihat untuk dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Thomas berkata sistem perundangan Malaysia telah menubuhkan  Mahkamah Pilihan Raya sementara untuk mendengar dan menentukan petisyen pilihan raya bagi pertikaian yang timbul daripada perjalanan pilihan raya oleh SPR dan petugasnya.

“Memandangkan ahli-ahli kerajaan sentiasa menjadi parti dalam petisyen pilihan raya, sama ada sebagai anggota Parlimen, anggota Dewan Undangan Negeri atau calon yang tewas, adalah tidak menyenangkan bagi Jabatan ini untuk bertindak bagi pihak SPR,” kata Thomas.

Thomas menekankan bahawa tugas utama Jabatan Peguam Negara adalah  bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada cabang  eksekutif kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mewakili mereka dalam prosiding sivil dan jenayah di mahkamah.

SPR ditubuhkan semasa Merdeka untuk menjadi agensi bebas dan adil bagi melaksanakan pilihan raya  secara bebas dan adil serta menjadi neutral kepada parti-parti politik bertanding yang mempunyai hak untuk dipilih pengundi bagi menjadi pemerintah  mereka untuk tempoh  maksimum lima tahun, jelas beliau. - Bernama

No comments

Loading...