Header Ads

Loading...

Tersepit celah dua treler


Gombak: Niat baik mahu membantu pemandu treler yang berdepan masalah kerosakan kenderaan sebaliknya berakhir tragedi apabila mangsa maut tersepit antara dua treler.

Loading...

Dalam tragedi jam 6 petang Sabtu lalu, Ridzuan Tan, 32, dari FELDA Keratong 2, Pahang, meninggal dunia di lokasi kejadian di Kilometer 35.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah ke Bentong di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata, terdahulu mangsa yang memandu treler Dong Feng berhenti di lokasi kejadian untuk membantu treler Volvo yang rosak.

Beliau berkata, mangsa cuba menyambungkan tali kawat besi dari bahagian belakang kenderaannya ke bahagian hadapan treler rosak, namun mendapati jarak tali kawat besi itu tidak mencukupi.

“Mangsa yang berada di antara dua treler itu kemudian membuka hos angin bagi melepaskan tekanan brek angin bertujuan mengundurkan sedikit trelernya supaya tali kawat besi berkenaan dapat disambungkan.

“Namun, ketika proses melepas angin dilakukan, trelernya mengundur dengan laju dan terus menghimpit mangsa di antara dua kenderaan berat berkenaan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Ali berkata, polis terpaksa meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.


Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang yang tiba di lokasi kejadian pada jam 6.40 petang, mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-mymetro

No comments

Loading...