Header Ads

Tak semua keputusan PH sokong liberal - Anuar


PAKATAN Harapan (PH) komited menguruskan pelbagai keputusan serta dasar dibuat kerajaan walaupun ada pihak mendakwa apa yang diputuskan pakatan itu condong ke arah liberalisme.

Loading...

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN) Anuar Tahir berkata, PH mempunyai alasan kuat untuk mempertahankan keputusan yang dibuatnya selepas menjadi kerajaan walaupun menyedari berisiko kehilangan sokongan orang Melayu dan Islam.

Katanya, tidak semua keputusan dibuat PH menyokong liberalisme walaupun ada pihak mendakwa apa yang kerajaan lakukan mengguris orang Melayu dan Islam.

“Kami sedang mengurus semua isu yang ada kaitan dengan liberalisme. Kami tahu apa yang hendak dilakukan kerana kami sentiasa berdepan dengan rakyat.

“Soal sokongan orang Melayu dan Islam kepada PH akan merosot jika kami tidak berhati-hati menguruskan isu ini adalah permainan sentimen perkauman parti lawan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau mengulas laporan Merdeka Center yang memberi amaran kepada PH supaya berhati-hati melaksanakan dasar yang agak liberal kerana dibimbangi akan menjauhkan sokongan orang Melayu dan Islam kepada mereka dalam tempoh lima tahun lagi.

Merdeka Center melaporkan undi Melayu terpecah kepada tiga yang mana 30 hingga 33 peratus mengundi PAS, 35 hingga 40 peratus menyokong Barisan Nasional (BN) dan hanya 25 hingga 30 peratus memilih PH.


Laporan itu menyatakan pengundi Melayu masih percaya PH dikawal DAP, parti yang majoriti ahlinya adalah kaum Cina.

Pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan antara perkara yang menimbulkan rasa kurang senang orang Melayu dan Islam termasuk penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Anuar berkata, parti yang bekerjasama di dalam PH sentiasa berunding dan berbincang apabila ada perkara yang menyentuh soal sensitiviti Islam, Melayu dan Raja-raja.

-mymetro

No comments

Loading...