Header Ads

"Tak minat pampasan, hanya mahu MAS buat perkara betul" - Pemilik kucing


PETALING JAYA: Biarpun sekadar haiwan peliharaan, kehilangannya pasti memberi kesan emosi kepada pemiliknya.

Begitulah nasib sepasang suami isteri yang mendakwa kehilangan kucing mereka di Lapangan Terbang Labuan, Sabah, kerana kecuaian kakitangan Malaysia Airlines (MAS), Ahad.

Menurut Kiran Nesarajah, kucing bernama Scooty yang dibela bersama isterinya, Goh Ching Shing itu terlepas dari sangkar sewaktu berada di landasan untuk dibawa masuk ke ruang kargo.

Loading...

"Sebenarnya agak sukar untuk mendapatkan bantuan dari pihak MAS. Saya sendiri yang perlu menghubungi mereka.

"Scooty hilang pada Ahad dan saya hanya menerima maklum balas daripada wakil pelanggan mereka pada Selasa.

"MAS ada tawarkan penerbangan untuk salah seorang daripada kami tapi sudah terlambat. Isteri saya beli tiket sendiri dan kembali ke sana pagi ini untuk membantu pencarian," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.



Menurut Kiran, isterinya akan menyertai kakitangan di sana untuk mencari Scooty dan mereka sudah mendapat kebenaran dari pihak lapangan terbang.

Jelasnya lagi, tiada apa yang dimahukan selain haiwan comel itu kembali ke pangkuan mereka sekeluarga.

"Hari ini isteri saya ikut serta dalam operasi mencari Scotty. Dia akan memanggil nama Scotty dan harapnya dia cam suara itu.


"Kami tidak berminat dengan apa-apa pampasan, kami mahu pihak MAS melakukan perkara yang betul dan mencari kucing kami sahaja. Kami masih berharap," katanya lagi.

Menerusi posting di Facebook, pakar perubatan itu memaklumkan bahawa Scooty sepatutnya dibawa menaiki pesawat MH7417 dari Labuan ke Kuala Lumpur.

Mereka menaiki penerbangan tersebut kerana Kiran dipindahkan untuk kembali bertugas di semenanjung.



Sementara itu, dia turut memuat naik rakaman video oleh isterinya yang diambil dari tingkap pesawat yang menunjukkan kucing mereka sedang berlari di landasan.

"Saya boleh beritahu bagaimana ia berlaku. Seseorang buka sangkar sewaktu Scooty mendaftar masuk dan mereka tidak tahu untuk mengunci sangkar itu kembali.

"Mereka sekadar melakukan pencarian selama 10 minit sahaja lalu berlepas. Tiada maklumat selanjutnya dari sesiapa. Tak apalah, kucing jalanan je kan?," tulisnya sinis di Facebook.

Perkongsian berkenaan mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan kecuaian petugas berkenaan.

"Harap kamu dapat balik kucing itu. Ia sudah jadi sebahagian dari keluarga. Saman sahaja mereka, " tulis Zaidi Othman.

"Semoga jumpa balik. Ia pastinya memberi tekanan dan kucing itu juga mesti sedang takut. Ini adalah insiden yang tak boleh dimaafkan dan menunjukkan ketidakcekapan MAS," tulis Ling Wong pula.

No comments

Loading...