Header Ads

'Syed Saddiq.. tolong jangan menyibuk'


KETUA Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Abdul Rahman, diingatkan supaya tidak ‘menyibuk’ dengan urusan pemilihan UMNO.

Loading...

Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah berkata, sebaliknya Syed Saddiq perlu memberi fokus kepada janji Pakatan Harapan (PH) untuk kebaikan golongan muda.

Shahar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pahang, berkata adalah lebih baik jika Syed Saddiq menumpukan usaha untuk menaikkan namanya menjadi Menteri Belia dan Sukan bagi menunaikan pelbagai janji PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Katanya, Ahli Parlimen Muar itu perlu menjadi Menteri Belia dan Sukan bagi menumpukan usahanya membantu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bergaji RM4,000 ke bawah yang mengharapkan PH menunaikan janji mereka sebelum menang PRU14.

“Syed Saddiq kena sedar ramai anak-anak muda juga ternanti-nantikan satu juta peluang pekerjaan dijanjikan Pakatan Harapan walaupun kerajaan baharu kini sedang sibuk bertungkus-lumus untuk menggambarkan ekonomi negara seakan-akan tenat.

“Ini kerana Syed Saddiq kena tunggu tidak lama lagi untuk saya bangkitkan, ungkit janji-janji Pakatan Harapan di Dewan Rakyat sebagai membawa penyesalan dan kekesalan anak muda mengundi Pakatan Harapan tempoh hari.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya mahu bertanya kepada Syed Saddiq selaku bakal Menteri Belia dan Sukan mengenai apa beliau lakukan untuk anak-anak muda tanpa mengira bangsa dalam mengurangkan beban kos sara hidup, peluang pekerjaan dan segala yang pernah dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Untuk rekod, PH membentuk kerajaan pada 10 Mei lalu.

Shahar, 38, yang juga calon Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan kali ini mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa UMNO masih terperangkap dalam masa silam dan berpegang kepada individu berusia bagi jawatan Ketua Pemuda.

Ia berikutan beberapa pemimpin dan ahli UMNO yang menawarkan diri bertanding untuk jawatan itu berusia lebih 40 tahun.

Selain Shahar, antara nama lain turut bertanding jawatan sama adalah Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang semuanya sudah melepasi usia 40 tahun.

Mengulas lanjut, Shahar berkata, selain itu adalah lebih baik sekiranya Syed Saddiq terus bersuara dalam Pakatan Harapan untuk menegur pimpinan utama supaya menunaikan janji manis mereka pada PRU-14.

“Daripada biar (Ahli Parlimen Setiawangsa) Nik Nazmi Nik Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi Menteri Belia dan Sukan, lebih baik Syed Saddiq yang jauh lebih muda menunjukkan taring kerana rekod kepimpinan Nik Nazmi tidak begitu menonjol walaupun pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Ingatlah, waima baru setahun jagung dalam politik, pemimpin Pakatan Harapan termasuk Syed Saddiq sedang dinilai masyarakat terutama anak-anak muda yang akan sekali lagi mengundi dalam masa lima tahun lagi,” katanya.

-mymetro

No comments

Loading...