Header Ads

Sukar Pulihkan UMNO Jika 'Orang Najib' Kekal Dalam Parti - Calon Ketua Pemuda


KUALA LUMPUR: Sukar untuk UMNO pulih sepenuhnya sekiranya mereka yang 'bersekongkol' dengan bekas presiden parti Datuk Seri Najib Razak ingin terus kekal dalam parti, kata calon Ketua Pemuda Syed Rosli Jamalullail Syed Harman hari ini.

Katanya, individu yang dikaitkan dengan pelbagai isu sepatutnya melakukan tindakan bertanggungjawab dengan tidak menawarkan diri bertanding lagi, contohnya seperti Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ini katanya, demi memberi peluang kepada muka baharu yang bersih untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

Loading...


Menurutnya, untuk menjadi parti pembangkang yang dihormati dan dipercayai rakyat, UMNO memerlukan barisan kepimpinan yang berintergriti dan mempunyai kredibiliti.

"Jika tidak Umno akan kekal sebagai pembangkang buat jangka masa yang lama," kata Syed Rosli dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengambil contoh persaingan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang menyaksikan tiga calon yang memegang jawatan dalam kerajaan dan struktur kepimpinan parti sebelum ini.

Mereka ialah Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun yang juga dilantik menjadi Senator dalam Dewan Negara, serta Ketua Pemuda UMNO Pahang Shahar Abdullah.

"Mereka ini adalah antara yang mendiamkan diri ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang melibatkan Najib.

"Dengan itu sudah pasti mereka juga adalah liabiliti kepada UMNO," kata Syed Rosli.

Beliau merupakan salah seorang daripada sembilan calon yang akan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti.

Selain Syed Rosli, Khairul Azwan, Shahar dan Asyraf, lima calon yang lain adalah Abdul Razak Mohamed Yusof, Imbran Afham Armen, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan dan Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos.

No comments

Loading...