Header Ads

SPRM beku 900 akaun berkaitan 1MDB


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membekukan 900 akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sumber berkata, antara akaun yang dibekukan itu adalah milik UMNO.

"Mereka yang mendapati tidak lagi mempunyai akses kepada akaun mereka sejak beberapa hari lalu, termasuk individu yang disiasat adalah kerana dipercayai ada kaitan dengan siasatan 1MDB," kata sumber itu.

Loading...

Di Johor Bahru, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam, mendedahkan SPRM membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat sehari selepas beliau mengumumkan agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian akan disalurkan semula.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan perkara itu semalam dan akaun UMNO Johor juga hampir pasti dibekukan tidak lama lagi.

"Semalam (kelmarin) keluar surat, hari ini (akaun) kena beku," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Johor di sini, semalam.

UMNO sedia beri kerjasama

Ahmad Zahid berkata, UMNO akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung perkara itu dan beliau juga akan berusaha membuktikan bahawa wang milik UMNO adalah sah dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan pengubahan wang haram.

Katanya, selagi beliau diberi kepercayaan memimpin UMNO, beliau akan menentang dan tidak membenarkan mana-mana pihak membuat ugutan dan melakukan diskriminasi terhadap UMNO.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri juga hampir pasti akan meminta Pertubuhan Pendaftaran (ROS) membatalkan pendaftaran UMNO dalam tempoh terdekat.

"Tidak ada jaminan mana-mana Presiden UMNO, Timbalannya, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi (MT) sekiranya menang pada pemilihan kali ini, tidak akan disiasat kerana kita bukan lagi kerajaan. Ini termasuk bekas Menteri Besar," katanya.


Tindakan susahkan parti

Sementara itu, calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata tindakan membekukan akaun parti itu akan menyusahkan UMNO untuk menjalankan kerja pentadbiran dan urusan berkaitan.

Bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama UMNO Perak pada Majlis Sepetang Bersama KJ di Bukit Merah Laketown Resort, Taiping, semalam, beliau juga berharap, tindakan SPRM itu bukan bertujuan untuk mengharam dan membatalkan pendaftaran UMNO.

Sehubungan itu, katanya, jika terpilih menjadi Presiden UMNO pada pemilihan esok, perkara membabitkan akaun dan aset UMNO menjadi keutamaan untuk diselesaikan.

"Saya sangat-sangat khuatir dengan perkembangan terkini berkenaan dengan pembekuan akaun UMNO oleh pihak SPRM.

"Kalau dipilih sebagai Presiden UMNO, saya akan berusaha mempertahankan aset, akaun dan juga parti UMNO, diharapkan jika perlu diadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa dan juga kerajaan, saya akan tampil memastikan bahawa UMNO tidak terbabit," katanya.

No comments

Loading...