Header Ads

Saya masih di Malaysia - Jamal


KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mendakwa beliau masih berada di dalam negara.

Loading...

Sehubungan itu katanya, kerajaan tidak perlu memburunya secara besar-besaran termasuk bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL).

Jamal mendakwa, ia memandangkan kesalahan yang dilakukannya adalah amat kecil dan bukan jenayah yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Katanya, kesalahan itu adalah melakukan protes dengan memecahkan botol arak dengan menggunakan penukul sempena Festival Arak tahun lalu di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, di Shah Alam.

"Kesalahan tersebut hanya membabitkan denda tidak lebih RM400, dan kesalahan-kesalahan lain yang saya lakukan contohnya mengadakan perhimpunan haram hanya didenda RM100 dan sebagainya.

"Jadi terpulanglah kepada kerajaan untuk meminta INTERPOL atau kerjasama daripada Polis negara luar kerana saya masih berada dalam negara," katanya menerusi satu rakaman perbualan telefon.


Beliau berkata, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, juga turut mengesahkan bahawa dirinya belum dikesan keluar menerusi mana-mana pintu rasmi keluar dari negara ini.

"Apa yang paling penting adalah saya tidak melanggar undang-undang negara (Malaysia)," katanya.

Minggu lalu, satu video tular dalam laman sosial yang memaparkan Jamal berada dalam satu ladang sawit.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan polis Indonesia untuk mengesan Datuk Seri Jamal Md Yunos yang didakwa melarikan diri ke negara itu.

-mymetro

No comments

Loading...