Header Ads

'Projek ECRL Diteruskan Jika Dapat Terma Memihak Kerajaan' - Tun M

Foto: Berita Harian

TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa tidak tahu menahu mengenai pembabitan syarikat milik seorang hartawan terkenal dalam projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Perdana Menteri sebaliknya meminta wartawan bertanya sendiri kepada hartawan terbabit mengenai dakwaan berkenaan.

“Saya tidak pasti hal itu. Awak kena tanya dia sendiri," katanya.

Menurut Harian Metro, Dr Mahathir berkata, projek ECRL diteruskan sekiranya mendapat terma yang memihak kepada kerajaan dalam rundingan semula projek itu dengan syarikat kontraktor.

Loading...


Katanya, masalah pembinaan ECRL adalah membabitkan kos terlalu tinggi, selain terma yang tidak memihak kepada negara.

“Semua terma perlu dirunding semula. Kalau dapat terma yang bagus sudah tentu ia akan diteruskan.

“Idea untuk membina (ECRL) ok walaupun terlalu awal. Tetapi jika perlu dibina dan tidak dapat batalkan kontrak, kita perlu kurangkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin dan Menteri Besar Johor yang juga Setiausaha PPBM Johor Datuk Osman Sapian.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, rundingan semula terma perjanjian air antara Malaysia dan Singapura bukan satu keperluan mendesak untuk dibincangkan ketika ini.

Bagaimanapun katanya, rundingan itu akan tetap diteruskan.

Mengulas pertemuannya dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd dan DRB-Hicom Bhd pada Jumaat lalu, Perdana Menteri mahu syarikat terbabit tidak meminggirkan syarikat tempatan dalam membekal komponen Proton.

“Kita mahu pengeluar China bekerjasama dan membantu pengeluar tempatan.

“Jika tidak, kita khuatir mereka akan bawa komponen dari luar dan menyebabkan vendor tempatan ditutup. Itu tidak adil kepada vendor tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut memuji kenderaan utiliti sukan (SUV) yang bakal dilancarkan Proton tidak lama lagi.

“Saya berkesempatan memandu uji kenderaan itu dan kualitinya tinggi. Saya fikir ia sesuai untuk pasaran Malaysia,” katanya.

No comments

Loading...