Header Ads

PM Tiba Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari Ke Indonesia


JAKARTA, 28 Jun (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, kunjungan pertama ke negara Asia Tenggara selepas menjadi Perdana Menteri ketujuh, pada 10 Mei lalu.

Pesawat yang membawa Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di sini pada jam 6.05 petang waktu tempatan (7.05 malam waktu Malaysia).

Ketibaan Dr Mahathir dan isteri disambut Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Loading...


Turut hadir ialah Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi; Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan, Wiranto, Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto; Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan.

Dalam rangka lawatan itu, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Joko Widodo atau Jokowi di Istana Presiden di Bogor pagi esok dan disusuli jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Jokowi.

Lawatan tersebut menyediakan platform untuk kedua-dua pemimpin memperkasakan hubungan dua hala dan kerjasama yang sedia ada antara Kuala Lumpur dan Jakarta.

Lawatan itu juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar terkini kerajaan dan pendirian negara, khususnya berkaitan isu yang mempunyai manfaat bersama.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama kepada kedua-dua negara itu.

Malam ini, Dr Mahathir akan menghadiri jamuan malam bersama lebih 300 rakyat Malaysia yang tinggal di ibu kota ini dan dijangka mengadakan sesi dialog bersama mereka.

Sementara itu, Zamshari berkata Indonesia amat ternanti-nantikan lawatan Dr Mahathir ke republik itu.

"Lawatan ini amat ditunggu-tunggu oleh pihak Indonesia kerana status Perdana Menteri sebagai pemimpin paling senior dalam kalangan pemimpin-pemimpin ASEAN," kata Zamshari kepada wartawan Malaysia hari ini.

Semasa di Istana Presiden di Bogor esok juga, Dr. Mahathir akan diberi penghormatan untuk bersama-sama dengan Jokowi menanam pokok Angsana.

"Simbolik pemilihan pokok Angsana itu ialah pokok tersebut sangat kuat, lama dan boleh bertahan lama yang sekali gus melambangkan asas yang kuat terhadap hubungan bilateral Malaysia dan Indonesia seiring sambutan 60 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun lepas," katanya.

Media di Indonesia sejak semalam juga menyiarkan laporan meluas berhubung lawatan rasmi Dr Mahathir itu.

Perdana Menteri dijadual pulang ke Kuala Lumpur pada jam 5.45 petang esok.

-- BERNAMA

No comments

Loading...