Header Ads

Perkasa pertahanan

MOHAMAD (kanan) bersama Marise (tiga dari kanan) melihat senjata milik TUDM.

Butterworth: Malaysia dan Australia bersetuju memperkasakan usaha membanteras ancaman pengganas termasuk isu berkaitan konflik pengganas membabitkan negara asing di kedua-dua negara.

Loading...

Perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Malaysia-Australia dipengerusikan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sempena lawatan rasmi Menteri Pertahanan Australia Marise Payne di sini, semalam.

HLC Malaysia-Australia dalam satu kenyataan bersama berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada struktur utama di rantau berkenaan, selari dengan komitmen dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

“Malaysia dan Australia juga bersetuju secara dua dan pelbagai hala bagi memperkasakan tindakan pertahanan bagi mengekang aktiviti pengganas, selain mengutuk tindakan kumpulan pengganas merentasi rantau.

“Kedua-dua negara juga bersetuju memperkasa latihan operasi, termasuk menggabungkan keupayaan terkini bagi kesejahteraan faedah bersama semua negara anggota,” katanya.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pesuruhjaya Tinggi Kementerian Pertahanan Australia Andrew Goledzinowski AM.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan kedua-dua negara juga bersetuju dengan perkembangan untuk menaik taraf kemudahan diguna pakai Pasukan Pertahanan Australia di Butterworth serta Pusat Latihan Pembangunan dan Operasi Bandar di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi, Johor.


Pada majlis sama, Mohamad dan Marise turut menanam pokok di Wisma Perwira sempena menyambut Ulang Tahun ke-60 Kerjasama Australia di Pangkalan Udara Butterworth di sini, selain turut melawat Ibu Pejabat Sistem Pertahanan Kawasan Bersepadu (HQIADS) dan Skuadron 18 TUDM.

No comments

Loading...